SHANGHAI: Kes jangkitan Covid-19 di Shanghai turun sedikit, manakala jangkitan baru di ibu kota China, Beijing, kekal stabil, menunjukkan langkah ekstrem di bandar itu untuk membendung wabak mungkin berhasil.

Shanghai melaporkan 4,651 kes kelmarin , turun daripada 4,982 pada Selasa.

Beijing pula melaporkan 50 kes kelmarin, berbanding 51 pada Selasa, lapor CCTV.

Pihak berkuasa Shanghai telah menyatakan sekatan hanya akan ditarik balik apabila penularan masyarakat mencapai sifar - laluan sama diambil di wilayah Jilin di timur laut, di mana sekatan secara beransur-ansur mula berkurangan apabila tiada lagi penularan masyarakat.

Tetapi tidak pasti bila itu boleh berlaku, sedang bilangan kes Omicron yang berterusan mungkin dapat mengatasi sekatan pergerakan yang ketat.

Kira-kira 2.54 juta daripada jumlah penduduk Shanghai yang berjumlah kira-kira 25 juta kekal di bawah sekatan paling ketat menjelang 2 Mei, kata pegawai pemerintah pada taklimat Selasa lalu.

Bandar itu akan meneruskan ujian besar-besaran, menggunakan kedua-dua ujian ujian Rantaian Polimerase (PCR) dan ujian pantas antigen (ART), sehingga esok.

Walaupun sekatan terus dikenakan buat sesetengah penduduk, banyak syarikat telah pun kembali beroperasi dengan menggunakan kaedah 'pengurusan gelung tertutup' di mana kakitangan bekerja dan tinggal di tempat kerja serta menjalani ujian secara tetap.

Di Beijing pula, jutaan penduduk di bandar itu kembali bekerja semalam, kebanyakannya dari rumah, dengan lebih 60 stesen kereta api bawah tanah, lebih 10 peratus daripada rangkaian tersebut, ditutup kelmarin.

Kebanyakan stesen yang terjejas berada di daerah Chaoyang di timur Beijing, termasuk persimpangan yang menyediakan kawasan pusat perniagaan. Puluhan laluan bas juga digantung.

Beberapa sekatan yang dikenakan semasa cuti Hari Pekerja, termasuk larangan makan di restoran, akan dilanjutkan.

Pegawai pemerintah berkata mereka masih menemui jangkitan dalam masyarakat dan pengesanan serta ujian kontak perlu lebih cepat.

Namun bandar itu akan memendekkan keperluan kuarantin bagi hubungan rapat kepada 10 hari di kemudahan pusat serta tujuh hari pengasingan di rumah.

Ia turun daripada dasar sebelumnya iaitu 14 hari kuarantin di pusat, diikuti dengan tujuh hari kuarantin di rumah dan tujuh hari pemantauan kesihatan.

Pihak berkuasa China telah meneruskan dasar sifar Covid mereka yang membabitkan penutupan dan ujian besar-besaran sedang mereka memerangi wabak terbesar sejak berlakunya wabak itu dua tahun lalu, dengan seluruh kawasan kejiranan di ibu kota ditutup walaupun dengan segelintir jangkitan.

Beijing bertindak berhati-hati selepas penutupan berpanjangan di Shanghai, bandar terbesar di China, menyebabkan kekurangan makanan dan kemarahan orang ramai.

Lebih 40 bandar di China melaksanakan sekatan penuh atau separa setakat 3 Mei. - Agensi berita.