Jangkitan Covid-19 terus bertambah walau program vaksinasi dijalankan di serata dunia
Jangkitan Covid-19 terus bertambah walau program vaksinasi dijalankan di serata dunia
BRASILIA: Meskipun program vaksinasi giat dijalankan di seluruh dunia, kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.
Brazil mengalami rekod kematian akibat Covid-19 apabila lagi 3,251 orang terkorban sehingga kelmarin (23 Mac), sedang bantahan 'periuk belanga' meletus di serata negara itu, semasa Presiden Jair Bolsonaro berucap bagi mempertahankan respons pandemik pemerintahannya dan berikrar untuk mempertingkat pelaksanaan vaksinasi.
Jumlah kematian yang tinggi itu menggariskan penularan besar-besaran di Brazil, yang kini tidak terkawal disebabkan pelaksanaan vaksinasi yang simpang-siur dan langkah-langkah sekatan bagi membendung penularan koronavirus yang bercelaru, sehingga menyebabkan hospital di negara itu kini berada dalam kedudukan getir - tidak mampu menampung jumlah pesakit yang tidak tertanggung.
Encik Bolsonaro kini berdepan dengan tekanan hebat akibat penularan Covid-19 yang sangat buruk sekarang, selepas beliau mengulangi tindakan memperkecilkan hakikat sebenar, menimbulkan kecurigaan tentang vaksin dan memerangi langkah-langkah sekatan yang diperkenalkan pentadbiran negeri dan pemerintah tempatan.
Sementara itu, di kota-kota serata Brazil, bantahan 'periuk belanga' bergema di waktu malam, sedang ramai menyuarakan rasa marah atas caranya menangani penularan yang telah mengorbankan lebih 300,000 orang.
Encik Bolsonaro meraih reputasi antarabangsa yang buruk kerana tindakannya memerangi langkah sekatan, tidak mengendahkan pemakaian pelitup dan menganjurkan penggunaan ubat yang tidak diiktiraf seperti hidroxychloroquine.
Di Eropah, Belanda melanjutkan sekatan koronavirus sehingga 20 April susulan lonjakan kes baru, namun bakal memendekkan tempoh perintah berkurung pada waktu malam sebanyak sejam.
Perdana Menteri Belanda Mark Rutte berkata pertambahan kes baru semakin membimbangkan, sekali gus terpaksa melanjutkan langkah sekatan berkenaan.
"Terdapat sedikit perubahan. Adalah wajar untuk mengubah tempoh perintah berkurung memandangkan kita menghampiri musim panas dan waktu siang akan lebih panjang," katanya dalam sidang media kelmarin.
Encik Rutte memaklumkan perintah berkurung pada waktu malam akan bermula pada jam 10 malam berbanding jam 9 malam, dan tamat pada 4.30 pagi.
Kerajaan United Kingdom (UK) pula sedang membangunkan teknologi yang boleh mengenal pasti dengan pantas sama ada sampel ujian Covid-19 yang positif mengandungi varian baharu.
Ujian genotip akan mengurangkan kepada separuh, masa yang diperlukan untuk mengenal pasti varian dan boleh digunakan sebagai tambahan kepada ujian standard untuk mengesan kes dengan lebih cepat, kata Kementerian Kesihatan UK dalam satu kenyataan semalam.
Langkah kerajaan untuk melonggarkan sekatan perintah berkurung memerlukan pengawalan terhadap varian baru Covid-19.
Selepas kes dengan varian dikenal pasti, pengesanan kontak boleh dipergiat dan tindakan susulan dapat dijalankan untuk mengekang penyebaran.
Di India, Pengarah Institut Sains Perubatan (AIIMS) New Delhi, Dr Randeep Guleria, berkata lonjakan kes jangkitan Covid-19 di negara itu mungkin disebabkan oleh tindakan melonggarkan langkah berjaga-jaga dan timbulnya varian baru yang lebih berbahaya.
"Sekarang orang ramai merasakan bahawa pandemik sudah berakhir kerana vaksin sudah ada. Oleh itu, mereka tidak lagi memakai pelitup muka dan berkumpul beramai-ramai.
"Ini menyebabkan virus ini merebak dengan cepat," kata Dr Guleria kepada stesen televisyen tempatan Sabtu lalu.
"Faktor lain ialah prinsip dasar pengujian, pengesanan dan pengasingan sudah tidak sama dengan apa yang dilakukan enam bulan yang lalu."
Di Taipei, Sinovac berkata, vaksin Covid-19 keluarannya adalah selamat bagi kanak-kanak dan remaja berusia 3-17 tahun dan ia sudah menyerahkan data berkenaan kepada pengawal selia ubat-ubatan China.
Lebih 70 juta suntikan vaksin Sinovac sudah diberikan di seluruh dunia, termasuk di China.
China membenarkan penggunaan vaksin itu pada orang dewasa tetapi ia belum digunakan pada kanak-kanak, kerana sistem kekebalan tubuh mereka mungkin bertindak balas berbeza terhadap vaksin berkenaan.
Pengarah Perubatan Sinovac Gang Zeng pada sidang akhbar kelmarin berkata berdasarkan ujian klinikal peringkat awal dan pertengahan ke atas lebih 550 subjek menunjukkan bahawa vaksin itu akan mendorong tindak balas imun. - Agensi berita.
"Sekarang orang ramai merasakan bahawa pandemik sudah berakhir kerana vaksin sudah ada. Oleh itu, mereka tidak lagi memakai pelitup muka dan berkumpul beramai-ramai. Ini menyebabkan virus ini merebak dengan cepat... Faktor lain ialah prinsip dasar pengujian, pengesanan dan pengasingan sudah tidak sama dengan apa yang dilakukan enam bulan yang lalu." - Dr Randeep Guleria, pengarah Institut Sains Perubatan India (AIIMS) mengenai lonjakan kes jangkitan Covid-19 di negara itu.


