Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Jawatan perdana menteri Thailand jadi buruan

May 02, 2023 | 05:30 AM



BANGKOK: Medan perlumbaan untuk menjadi perdana menteri Thailand agak penuh sesak dengan ramai calon mahu bersaing bagi merebut jawatan itu.



Namun pertarungan sengit dijangka terutamanya antara penyandang perdana menteri, Encik Prayut Chan-o-cha, dengan Cik Paetongtarn Shinawatra, seorang ahli politik muda daripada keluarga Shinawatra yang terkenal.



Pertandingan antara mereka menetapkan rentak pilihan raya umum Thailand yang dijadual tidak lama lagi - 14 Mei - dan dilihat sebagai pertandingan antara kumpulan prokerajaan sedia ada yang disokong tentera dengan kem prodemokrasi parti pembangkang.



Lebih 60 parti telah mendaftar calon mereka bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat yang mempunyai 500 kerusi, di mana 400 ahli parlimen (AP) akan dipilih rakyat dan bakinya akan dilantik menggunakan sistem perwakilan berkadar.



Penggubal undang-undang ini, bersama 250 ahli Senat, akan memutuskan siapa yang akan menjadi perdana menteri ke-30 Thailand.



Memandangkan Senat dipenuhi dengan sekutu kerajaan semasa, parti Pheu Thai pimpinan Cik Paetongtarn memerlukan sekurang-kurangnya 376 kerusi melalui sokongan sekutu untuk menyokong calon mereka menjadi perdana menteri.



Berikut adalah calon utama:



PRAWIT WONGSUWAN



Juga bekas ketua tentera, Encik Prawit, 77 tahun, berkhidmat sebentar sebagai pemangku perdana menteri pada 2022 apabila Encik Prayut digantung jawatannya oleh Mahkamah Perlembagaan semasa perbicaraan had penggal.



Beliau mengetuai parti pemerintah Parti Palang Pracharath yang menyokong Encik Prayut dalam pilihan raya lalu.



Encik Prawit ialah timbalan ketua junta Encik Prayut dan "anggota keluarga lebih tua" dalam perkaitan kuasa kerajaan yang dikenali sebagai "3P", yang termasuk Encik Prayut dan Menteri Dalam Negeri, Encik Anupong Paochinda, sebelum satu pertelingkahan menyebabkan Encik Prayut menyertai parti lain.



Sebelum menyertai politik, bekas ketua tentera itu adalah salah seorang tokoh Burapha Payak, atau puak Harimau Timur, dalam tentera Thailand yang juga dikenali sebagai Pengawal Ratu.



Kini, beliau secara aktif menjauhkan diri daripada peranannya dalam junta kerajaan Encik Prayut.



PRAYUT CHAN-O-CHA



Mantan ketua tentera yang merampas kuasa pada 2014, Encik Prayut, 69 tahun, telah memerintah Thailand selama hampir sedekad dan merupakan calon perdana menteri utama parti United Thai Nation yang konservatif.



Sebagai ketua junta, Encik Prayut bertindak keras terhadap penentang sambil mendakwa beliau akan memulihkan keamanan dan ketenteraman selepas rampasan kuasanya menghentikan bantahan jalanan selama berbulan-bulan terhadap Perdana Menteri Yingluck Shinawatra ketika itu, adik kepada mantan perdana menteri Encik Thaksin Shinawatra - yang tempohnya juga ditamatkan dengan pengambilalihan tentera.



Encik Prayut menyelia penggantian diraja Raja Maha Vajiralongkorn selepas pemergian Raja Bhumibol Adulyadej yang amat dikasihi rakyat, yang memerintah selama 70 tahun.



Encik Prayut dipilih untuk kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya 2019, apabila Parti Palang Pracharath yang konservatif menggabungkan 18 parti untuk mengekalkan kuasanya.



Beliau diketahui mempunyai sifat pemarah, tetapi pada masa yang sama, beliau juga dilihat pemimpin yang jujur yang mengemudi Thailand melalui pelbagai cabaran.



PITA LIMJAROENRAT



Bekas pengarah eksekutif Grab Thailand, Encik Pita, 42 tahun, ialah pemimpin dan calon tunggal Parti Move Forward yang popular dalam kalangan belia.



Beliau yang berpendidikan Liga Ivy memulakan kerjaya dalam politik, pertama sebagai ahli parlimen parti Move Forward yang baru, yang mendapat tempat ketiga dalam pilihan raya 2019 di atas sokongan ramai pengundi kali pertama semasa pemerintahan tentera Encik Prayut.



Pembubaran Future Forward pada 2020 - dan pengharaman selanjutnya ke atas pemimpin berkarismanya berusia 44 tahun, Encik Thanathorn Juangroongruangkit - dilihat sebagai pendorong awal yang mencetuskan bantahan belia pada akhir tahun itu.



Walaupun parti Move Forward telah mewarisi banyak ideologi dan agenda utama pendahulunya termasuk reformasi ketenteraan dan rombakan perlembagaan pasca rampasan kuasa, ia juga melangkah lebih jauh di bawah kepimpinan Encik Pita untuk menjadi satu-satunya parti arus perdana yang mendesak pindaan undang-undang lese majeste yang menghukum seseorang yang menghina keluarga diraja sehingga 15 tahun penjara.



PAETONGTARN SHINAWATRA



Anak bongsu daripada tiga anak Encik Thaksin, Cik Paetongtarn, 36 tahun, adalah tokoh politik terbaru daripada keluarga Shinawatra, yang telah mendominasi pilihan raya Thailand tetapi secara rutin telah dipecat daripada jawatan.



Pemimpin berkarisma itu bukanlah pendatang baru dalam politik Thailand, setelah melihat dengan dekat penglibatan kerjaya Encik Thaksin sejak dirinya berusia lapan tahun.



Beliau kini mendahului tinjauan populariti, membantu parti Pheu Thai memperoleh kedudukan pendahuluan sihat berbanding Encik Prayut sebagai pilihan utama pengundi untuk menjadi perdana menteri.



Beliau telah melakukan strategi yang baik untuk mencetuskan sokongan pengundi, dengan merayu kepada penyokong setia Encik Thaksin dan Cik Yingluck, yang kededuanya melarikan diri ke luar negara, untuk membawa parti itu meraih kemenangan besar dan membantu menamatkan kitaran rampasan kuasa terhadap keluarga itu.



Cik Paetongtarn berulang kali menjelaskan bahawa matlamat politiknya bukanlah tentang membawa pulang bapanya. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >