Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa temui salah guna kuasa proses haji Indonesia

Sep 11, 2024 | 11:55 AM
Operasi ibadah haji pada 2024 dilaporkan berjaya dilaksanakan dengan lancar dan tanpa sebarang masalah seperti yang dinyatakan oleh Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas (depan), semasa majlis penghargaan kepada semua petugas haji pada 25 Julai. 
Operasi ibadah haji pada 2024 dilaporkan berjaya dilaksanakan dengan lancar dan tanpa sebarang masalah seperti yang dinyatakan oleh Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas (depan), semasa majlis penghargaan kepada semua petugas haji pada 25 Julai.  - Foto KEMENTERIAN AGAMA INDONESIA

JAKARTA: Jawatankuasa Khas (Pansus) Haji Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) telah menemui penyalahgunaan kuasa oleh Kementerian Agama dalam pelaksanaan haji 2024.

Pansus Haji mendapati terdapat penyelewengan dalam proses penghantaran jemaah haji dan menemui bukti 3,503 anggota jemaah haji khusus telah dihantar tanpa tempoh menunggu, sesuatu yang bertentangan dengan peraturan kuota yang ditetapkan.

Anggota Pansus Haji, Encik Wisnu Wijaya,  berkata penemuan itu berdasarkan keterangan saksi dan terdapat konspirasi berkaitan kuota jemaah haji pada 2024, khususnya dalam aspek pembayaran dan keberangkatan haji, seperti yang dilaporkan oleh Antara.

Beliau menegaskan beberapa anggota jemaah haji khusus telah membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kuota tanpa perlu menunggu giliran.

Pansus Haji turut menemui manipulasi data dalam Sistem Komputer Haji Terpadu (Siskohat), iaitu terdapat kes beberapa anggota jemaah diberi keutamaan manakala yang lain ditangguhkan tanpa alasan jelas. 

Pansus Haji sedang menjalankan siasatan melalui Mesyuarat Pendapat Umum (RDPU) bersama pasukan verifikasi kuota haji khusus, biasa, dan tambahan.

Mesyuarat itu yang pada awalnya dijadual dijalankan secara terbuka, telah ditukar kepada sesi tertutup oleh Ketua Pansus Haji, Encik Nusron Wahid, yang juga anggota DPR daripada parti Golkar.

Menurut Encik Nusron, keputusan mengadakan sesi tertutup adalah kerana sesi tersebut masih melibatkan keterangan saksi dan belum mencapai tahap sesuai untuk disiarkan kepada umum.

“Boleh direkodkan, tapi tertutup, jangan disebarkan secara spesifik,” tegas Encik Nusron.

Sebelum ini, dalam sesi penerangan kepada Pansus Haji, seorang anggota Pansus, Encik Marwan Jafar, mendedahkan Kementerian Agama menyatakan 3,500 anggota jemaah haji khusus dihantar pada musim Haji 2024 kerana lebihan kuota.

Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) masih menunggu surat rasmi daripada Pansus Haji untuk bekerjasama dalam menyiasat isu ini.

Jurucakap KPK, Encik Tessa Mahardika, pada 11 September menjelaskan KPK memerlukan bahan bukti daripada Pansus Haji sebelum menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes itu.

Kementerian Agama masih belum memberikan penjelasan tuntas mengenai dakwaan itu, tetapi jurucakap kementerian, Cik Anna Hasbie, menegaskan mereka bersikap telus dalam melaporkan 3,503 anggota jemaah yang berangkat tanpa tempoh menunggu.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg