Topik diikuti
Pergi ke BHkuJensen Huang didakwa jalin hubungan dengan eksekutif Nvidia, Kimberly Powell
Maklumat didedah lima kakitangan syarikat, Nvidia enggan keluarkan kenyataan.
Jensen Huang didakwa jalin hubungan dengan eksekutif Nvidia, Kimberly Powell
CALIFORNIA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Encik Jensen Huang, yang sedang disiasat berhubung skandal dengan seorang wanita yang dikenal pasti oleh agensi perisikan Amerika Syarikat sebagai pengintip China, turut didakwa menjalin hubungan sulit dengan seorang eksekutif yang melapor kepadanya.
Maklumat tersebut didedahkan oleh lima pekerja di syarikat berkenaan.
Hubungan yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini melibatkan Naib Presiden Penjagaan Kesihatan Nvidia, Cik Kimberly Powell, kata sumber berkenaan yang ingin identiti mereka dirahsiakan ketika mendedahkan maklumat sensitif tersebut.
Di bawah kod tatalaku Nvidia, pekerja diarahkan supaya mengelakkan situasi di mana tindakan mereka boleh mencetuskan konflik – termasuk hubungan peribadi.
Syarikat itu turut menyatakan ia akan “menyiasat sebarang laporan salah laku dengan segera”.
Banyak syarikat korporat mempunyai dasar yang melarang pengurus menjalin hubungan dengan pekerja bawahan mereka.
Encik Huang, 63 tahun, dan Cik Powell, 48 tahun, dirakam dalam video sedang bermesra di sebuah hotel di San Jose, California, semasa persidangan Nvidia pada Mac, menurut dua pekerja syarikat itu.
Kedua-dua Encik Huang dan Cik Powell sudah berkahwin dengan pasangan masing-masing.
Encik Huang, yang merupakan pengasas bersama Nvidia pada 1993 dan telah mengembangkan syarikat itu sebagai pembekal utama cip kecerdasan buatan (AI), kini berdepan penelitian yang semakin memuncak.
Pada Oktober, akhbar The New York Times (NYT) melaporkan bahawa seorang eksekutif wanita warga China yang rapat dengannya telah dikenal pasti oleh pegawai Amerika sebagai perisik China.
Pada November, selepas Encik Huang mengakui hubungan sulit tersebut, lembaga pengarah Nvidia melancarkan siasatan berhubung perkara itu yang diketuai oleh firma guaman Wachtell, Lipton, Rosen & Katz.
Pemimpin Republikan daripada tiga jawatankuasa Dewan Perwakilan yang berpengaruh turut meminta Encik Huang hadir untuk sesi taklimat tertutup mengenai hubungannya dengan wanita berkenaan, Cik Alice Huang.
China telah menafikan dakwaan perisikan tersebut, manakala eksekutif warga China yang didakwa merupakan perisik Beijing itu tidak memberikan respons apabila dihubungi media untuk memberi ulasan.
Apabila dihubungi melalui telefon pada 11 November dan ditanya mengenai hubungannya dengan Cik Powell, Encik Huang berkata, “Saya rasa anda tidak sepatutnya bercakap secara terus dengan saya”, sebelum meletakkan telefon.
Nvidia enggan mengeluarkan sebarang kenyataan, manakala Cik Powell belum memberi jawapan terhadap permintaan untuk memberi ulasan.
Saham syarikat itu merosot kira-kira 8 peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran.
Hubungan Encik Huang dengan Cik Powell telah menjadi perbualan dalam syarikat itu, kata lima sumber berkenaan.
Cik Powell mula menyertai Nvidia pada 2008 dan menyelia program yang mengaplikasikan teknologi cip syarikat itu dalam bidang pengajian tinggi serta penjagaan kesihatan, menurut laman web Nvidia.
Menjelang akhir 2017, beliau dilantik sebagai Naib Presiden Penjagaan Kesihatan.
Pada Mac, Cik Powell membuat ucapan di GTC, persidangan pembangun tahunan Nvidia di San Jose.
Semasa persidangan tersebut, barisan eksekutif Nvidia berada di sebuah hotel berdekatan untuk menghadiri mesyuarat.
Encik Huang dan Cik Powell dilihat bermesra di hotel berkenaan.
Seorang individu yang berada di lokasi kejadian merakam detik itu menggunakan telefon bimbitnya, menurut tiga sumber yang diberi taklimat mengenai insiden tersebut.
Pekerja keselamatan Encik Huang menyedari perbuatan individu berkenaan lalu membawanya ke tepi, sebelum meminta individu itu menandatangani perjanjian kerahsiaan, kata sumber berkenaan.
Encik Huang merupakan antara senarai panjang CEO syarikat Amerika yang menjalin hubungan dengan pekerja bawahan mereka. – Agensi berita.