TOKYO: Jepun berkata pada 23 Oktober ia akan menubuhkan satu pasukan untuk mensimulasikan serangan siber menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti kelemahan dalam sistem teknologi. 

Ini berlaku ketika organisasi bergegas mengurangkan risiko daripada kelemahan dalam bahasa pengaturcaraan PHP, yang menjadi asas kepada sebahagian besar Internet.

Laman web pemerintah dan syarikat di seluruh dunia terputus talian minggu ini selepas kelemahan kritikal dalam bahasa pengaturcaraan yang digunakan secara meluas itu didedahkan. 

Pendedahan itu mencetuskan berjuta-juta percubaan penggodaman dan memaksa pengendali laman web bergegas melindungi atau menutup sistem mereka buat sementara waktu.

Bagi menggambarkan betapa teruknya gangguan itu, pengendali telefon mudah alih Jepun, SoftBank, berkata pada 23 Oktober bahawa ia menggantung sistem amaran kecemasannya untuk pengguna telefon mudah alih.

Ini bermakna pelanggan tidak akan menerima amaran awal tentang gempa bumi, tsunami atau maklumat bencana dan pemindahan, kerana sistem itu sedang diselenggara untuk menangani kelemahan PHP, kata SoftBank.

“Serangan boleh berjaya dengan menembusi satu kelemahan sahaja... Atas sebab itu, penting bagi kita mengubah pemikiran dan melihat dari sudut pandangan penyerang,” kata menteri industri Jepun, Encik Ryosei Akazawa, pada 23 Oktober.

“Pihak pertahanan juga perlu menggunakan AI dan bertindak secara proaktif, supaya sentiasa selangkah di hadapan.”

Penutupan kecemasan minggu ini, dari Tokyo hingga Helsinki, melibatkan perkhidmatan perbankan, penerbangan, kereta api, cukai dan pemerintah.

Ia menjadi salah satu ujian paling dramatik terhadap alat pengaturcaraan berusia beberapa dekad yang memastikan Internet terus beroperasi.

Syarikat termasuk firma broker Nomura, bank Mitsubishi UFJ Financial Group, syarikat penerbangan ANA dan East Japan Railway (JR East) menggantung sebahagian perkhidmatan Internet mereka buat sementara waktu sebagai langkah kecemasan.

Kementerian Kewangan, Agensi Cukai Nasional dan Agensi Meteorologi Jepun juga menggantung sebahagian perkhidmatan dalam talian.

Pada 23 Oktober, JR East berkata sebahagian perkhidmatan kumpulannya telah disambung semula, manakala yang lain akan dipulihkan setelah disahkan selamat. 

Nippon Paint berkata ia telah memasang ‘tampalan keselamatan’ (security patch) sebagai langkah berjaga-jaga dan laman webnya kini beroperasi semula.

Penyerang mungkin menyasarkan perniagaan Jepun kerana rekod mereka yang lengkap. Rekod itu kini tidak lagi dilindungi oleh halangan bahasa kerana AI, kata Ketua Pegawai Eksekutif Trend Micro, Cik Eva Chen.

Menurutnya, Jepun terlalu selesa dengan prasarana sedia ada, yang dirasakannya sudah cukup selamat.

Pakar keselamatan siber berkata AI membantu penyerang mengautomasikan pelbagai tugas, daripada mengimbas kelemahan perisian hingga mencipta kempen pancingan data (phishing).

Ini menjadikan jenayah siber lebih pantas, lebih murah dan lebih sukar dikesan.

Pembangun PHP, bahasa pengkomputeran seperti HTML dan Python, mengeluarkan pembaikan pada 21 Okt untuk kelemahan yang sudah bertahun-tahun wujud dalam perisian itu dan baru dikesan menggunakan AI. Mereka menggesa pengguna supaya ‘mengemas kini dengan segera’. – Reuters.