TOKYO: Jepun akan menarik balik perintah darurat di semua wilayahnya esok sedang jumlah kes baru mula berkurangan dan tekanan ke atas sistem perubatan mulai reda, kata Menteri Ekonomi, Encik Yasutoshi Nishimura, semalam.
Pelan itu, yang diluluskan panel penasihat pemerintah, telah menarik balik perintah berkurung di seluruh negara buat kali pertama dalam masa enam bulan.
Perdana Menteri Yoshihide Suga mengadakan sidang media pada 7 malam waktu setempat bagi mengumumkan keputusan tersebut selepas pelan itu dirasmikan oleh pasukan bertindak kerajaan.
Bagaimanapun, Encik Nishimura berkata had yang dikenakan ke atas pusat makan dan acara berskala besar akan kekal untuk sebulan bagi mengelak kes jangkitan meningkat semula.
Kes-kes baru akan tentunya meningkat selepas perintah darurat ditarik balik," kata Encik Nishimura, yang menyelia respons koronavirus Jepun.
"Kita akan melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi mengelak kes meningkat semula," katanya, sambil menambah, perintah berkurung yang lebih longgar boleh dilaksanakan, jika kes meningkat semula.
Restoran di kawasan sekatan kini perlu ditutup pada 8 malam dan tidak menyediakan minuman arak.
Encik Nishimura berkata, kerajaan akan memperkenal sistem pensijilan di mana hanya restoran yang diluluskan boleh kekal dibuka sehingga 9 malam, walaupun larangan alkohol akan ditarik balik di semua wilayah kecuali gabenor wilayah membantah.
Seperti banyak negara lain, Jepun terkapai-kapai dalam membendung penularan varian Delta - termasuk semasa Sukan Olimpik Musim Panas - dengan meletakkan negara di bawah perintah darurat.
Jumlah kes harian terus berkurangan sejak sebulan lalu, kepada 1,128 kes di seluruh negara - yang direkodkan pada Isnin lalu - menurut menteri kesihatan, hampir separuh daripada 2,129 yang direkodkan pada hari Ahad dan turun daripada jumlah tinggi harian, kira-kira 25,000 semasa kemuncaknya.
Hampir 60 peratus populasi telah divaksinasi sepenuhnya dan kerajaan berkata semua yang mahu divaksinasi akan dapat menerima suntikan pertama menjelang November. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg