Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jepun, Korea Selatan setuju percepat hurai sengketa

Sep 25, 2021 | 5:30 AM
RUNDING PELBAGAI ISU: Setiausaha Negara AS, Encik Antony Blinken (tengah) bertemu Menteri Luar Jepun, Encik Toshimitsu Motegi (paling kiri) dan Menteri Luar Korea Selatan, Encik Chung Eui-yong (paling kanan) di luar sidang perhimpunan agung PBB di New York. - Foto AFP
RUNDING PELBAGAI ISU: Setiausaha Negara AS, Encik Antony Blinken (tengah) bertemu Menteri Luar Jepun, Encik Toshimitsu Motegi (paling kiri) dan Menteri Luar Korea Selatan, Encik Chung Eui-yong (paling kanan) di luar sidang perhimpunan agung PBB di New York. - Foto AFP -

WASHINGTON: Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi bertemu dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan Chung Eui-yong kelmarin dengan kedua-duanya menetapkan semula pendirian masing-masing berkaitan isu yang telah menyebabkan sekatan perdagangan antara dua negara itu.

Namun mereka berdua bersetuju untuk mempercepat rundingan bagi menyelesaikan masalah tersebut, lapor pihak Jepun.

Encik Motegi dan Encik Chung bertemu di New York di luar perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Satu pertelingkahan bersejarah yang berterusan mengenai pendudukan Jepun pada 1910-1945 di Korea termasuk isu 'comfort woman' atau wanita yang dipaksa bekerja di rumah pelacurannya, telah lama menjejas hubungan dua hala antara dua sekutu penting Amerika Syarikat itu.

Perselisihan itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, telah menyebabkan tindakan sekatan eksport selain mengancam kerjasama keselamatan antara dua negara jiran itu, walaupun mereka mempunyai ancaman sama yang mereka hadapi dari Korea Utara.

Kementerian Luar Jepun mengatakan Encik Motegi dan Encik Chung menegaskan kembali pentingnya kerjasama antara negara mereka demi kepentingan kestabilan serantau, termasuk dalam menangani Korea Utara.

Dalam isu pertelingkahan itu, "Encik Motegi secara tegas menyampaikan pendirian berprinsip Jepun dalam isu ini dan mengulangi seruannya agar (Korea Selatan) mengambil tindakan sewajarnya.

"Mengenai isu ini, Menteri Chung pula memberi penjelasan berdasarkan pendiriannya (Korea Selatan)," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, dua menteri itu "berkongsi pandangan tentang mempercepat rundingan dan komunikasi melalui saluran diplomatik untuk memulihkan hubungan baik dan kemudian membolehkan kerjasama dalam pelbagai bidang," katanya lagi.

Encik Chung berkata pada Rabu lalu bahawa Seoul percaya masalah itu dapat diselesaikan melalui dialog.

Beliau berkata adalah agak malang sekatan perdagangan telah berlaku disebabkan perbezaan politik dan beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan segera, dan jika tidak, Seoul terpaksa membawanya ke panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg