TOKYO: Kerajaan Jepun akan melanjutkan tempoh darurat akibat penularan virus Covid-19 di Tokyo dan sebahagian besar kawasan negara itu untuk dua minggu lagi apabila ia berakhir lusa kerana penularan jangkitan oleh varian Delta terus menekan sistem kesihatannya.

Kerajaan akan melanjutkan tempoh darurat di Tokyo, Osaka dan 17 wilayah lain sehingga 30 Oktober ini, kata Menteri Ekonomi Yasutoshi Nishimura kepada satu panel penasihat semalam.

Perdana Menteri Yoshihide Suga membuat pengumuman rasmi dalam satu sidang akhbar pada 6 petang semalam.

"Sekiranya jumlah kes jangkitan baru terus merosot pada kadar sekarang dan kita pertingkat sistem penjagaan kesihatan, beban penjagaan kesihatan dijangka menurun dengan banyak menjelang akhir bulan ini," kata Encik Nishimura.

Terdapat juga rancangan untuk mengembalikan keadaan ekonomi seperti biasa secara perlahan-lahan dengan menggunakan sijil vaksin walaupun di kawasan di bawah perintah darurat, menurut badan penyiaran Jepun, NHK, dalam satu laporan berasingan.

Sekatan ke atas restoran dan bar akan dilonggarkan jika mereka dapat disahkan, sementara orang ramai yang telah divaksinasi tidak akan dilarang dari melakukan lawatan dalam negara.

Satu laporan berasingan oleh Kyodo News menyatakan, sekatan ke atas acara besar-besaran akan juga dilonggarkan.

Kerajaan bercadang untuk memendekkan tempoh kuarantin Covid-19 untuk mereka yang memasuki Jepun kepada 10 hari sahaja berbanding 14 hari sekarang, kata Kyodo.

Tempoh lanjutan ini datang kira-kira seminggu selepas Encik Suga mengumumkan pengundurannya dari jawatan perdana menteri setelah menyaksikan penurunan sokongan yang diterima sedang beliau terkapai-kapai membendung lonjakan kes jangkitan koronavirus ke paras tertinggi.

Pengganti beliau akan berdepan dengan tugas berat - dalam mengimbangi usaha membendung lonjakan kes dengan usaha sokongan ke atas ekonomi selain meneroka langkah ke depan untuk mengembalikan kegiatan harian kembali seperti sedia kala.

"Lanjutan tempoh darurat bermakna keadaan kekal seperti biasa dan tidak akan memberi kesan mendalam," kata Encik Taro Saito, pengarah penyelidik ekonomi di Institut Penyelidikan NLI.

"Saya tidak fikir kita dapat mengembalikan ekonomi kepada keadaan biasa kecuali kita menerima paras jangkitan ke satu peringkat."

Di serata Jepun, 21 wilayah dan kawasan kini diletakkan di bawah perintah darurat dan langkah-langkah ini meliputi lebih 70 peratus penduduk.

Perintah darurat, yang punya berapa peruntukan undang-undang, lama kelamaan menjadi kurang berkesan dalam merubah sikap orang ramai. Banyak bar dan restoran tidak mengendahkan perintah untuk tutup awal dan berhenti menyediakan arak, meskipun diancam dengan bayaran denda.

Jumlah kes jangkitan di Tokyo telah merosot dari paras tertinggi 5,773 pada 13 Ogos lalu kepada 1,834 kes kelmarin.

Sedang nombor terus berkurangan, ia masih berada di paras tertinggi sepanjang pandemik ini.

Jepun akan lambat dalam pelaksanaan program vaksinasi tetapi negara matahari terbit itu semakin meningkatkan usaha, dengan 48 peratus penduduk telah pun divaksinasi sepenuhnya.

Ini berbanding dengan 53.8 peratus di Amerika Syarikat, yang memulakan program vaksinasi beberapa bulan lebih awal. - Agensi berita.

"Lanjutan tempoh darurat bermakna keadaan kekal seperti biasa dan tidak akan memberi kesan mendalam. Saya tidak fikir kita dapat mengembalikan ekonomi kepada keadaan biasa kecuali kita menerima paras jangkitan ke satu peringkat." - Encik Taro Saito, pengarah penyelidik ekonomi di Institut Penyelidikan NLI.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti