Topik diikuti
Pergi ke BHkuJepun rancang ketepikan keperluan visa pelancong

Jepun rancang ketepikan keperluan visa pelancong
TOKYO: Kerajaan Jepun merancang untuk mengetepikan keperluan visa pelancong yang sebelum ini dikenakan sebagai sebahagian langkah kawalan Covid-19.
Perdana Menteri, Encik Fumio Kishida, mungkin membuat keputusan seawal minggu ini mengenai pelonggaran itu, yang juga membolehkan pelancong individu melawat Jepun tanpa tempahan agensi pelancongan, menurut laporan Fuji News Network (FNN) semalam.
Jepun tidak memerlukan visa pelancong untuk 68 negara dan wilayah sebelum wabak tersebut.
Wakil Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Encik Seiji Kihara, pula memaklumkan pintu sempadan negara itu akan dibuka untuk pelancong asing selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.
Memetik laporan rancangan Prime Fuji TV, Encik Kihara memberitahu pihak kerajaannya masih dalam proses meneliti sebelum membenarkan lebih ramai pelancong asing masuk ke negara itu.
Katanya, jumlah angka pelancong yang masuk ke Jepun ketika ini masih rendah, sekitar lima peratus daripada jumlah pelancong masuk yang datang pada 2019, sebelum pandemik menyerang dunia.
"Perbincangan masih dijalankan bersama Perdana Menteri, Encik Fumio Kishida. Kami cuba membuka pintu sempadan untuk pelancong yang datang bersendiri secepat mungkin pada musim luruh atau selewat-lewatnya musim sejuk akan datang," katanya.
Musim luruh di Jepun bermula sekitar penghujung Oktober dan musim sejuk pula akan bermula sekitar penghujung Disember 2022 hingga awal Mac 2023.
Sementara itu, Encik Kihara memaklumkan dengan kehadiran jumlah pelancong yang ramai memasuki negara itu, kadar pertukaran Yen yang lemah berbanding Dolar Amerika Syarikat ketika ini akan menjadi lebih kukuh di masa akan datang.