Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jepun ratapi pemergian Abe

Pembunuhan mantan PM itu turut gemparkan dunia
Jul 10, 2022 | 5:30 AM
PEMERGIAN MENGEJUT: Orang ramai semalam beratur untuk meletakkan jambangan bunga dan berdoa di tapak mantan Perdana Menteri Shinzo Abe ditembak mati semasa berkempen berdekatan stesen Yamato-Saidaiji di Nara, Jepun. - Foto REUTERS
PEMERGIAN MENGEJUT: Orang ramai semalam beratur untuk meletakkan jambangan bunga dan berdoa di tapak mantan Perdana Menteri Shinzo Abe ditembak mati semasa berkempen berdekatan stesen Yamato-Saidaiji di Nara, Jepun. - Foto REUTERS -

TOKYO: Jepun semalam meratapi pemergian mantan Perdana Menteri Encik Shinzo Abe yang jenazahnya sedang dibawa ke Tokyo dari bandar Nara, barat Jepun, di mana beliau ditembak semasa menyampaikan ucapan.

Pembunuhan tokoh politik paling terkenal di Jepun itu menggemparkan Jepun dan juga seluruh dunia, lebih-lebih lagi memandangkan Jepun mencatatkan paras jenayah ganas yang rendah dan menguatkuasakan undang-undang senjata yang ketat.

"Saya begitu terkejut kerana kejadian seperti ini berlaku di Nara," kata Cik Natsumi Niwa, suri rumah berusia 50 tahun, meletakkan bunga dengan anak lelakinya yang berusia 10 tahun dekat tapak pembunuhan.

Tetsuya Yamagami, 41 tahun, yang ditahan kerana didakwa membunuh Encik Abe, berkata dia mahu menentang kumpulan tertentu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Encik Abe.

"Emak saya terbabit juga dengan kumpulan ini, memberi sejumlah besar sumbangan dan hidup kami hancur akibat perbuatan itu," lapor Sputnik, yang memetik stesen penyiar Jepun, NHK.

Yamagami, 41 tahun, menghampiri Encik Abe dari belakang dan melepaskan dua das tembakan dari jarak kira-kira 10 meter menggunakan pistol buatan sendiri. Polis turut menemui beberapa lagi pistol buatan sendiri apabila menyerbu kediaman Yamagami, sejurus selepas dia ditahan.

Polis sedang menyiasat latar belakang Yamagami, termasuk dakwaan bahawa dia pernah berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Maritim Jepun, iaitu angkatan tentera laut Jepun.

Ketika ditembak, Encik Abe sedang menyampaikan ucapan menjelang pilihan raya dewan tinggi dan kempen pilihan raya itu disambung semula semalam, dengan para ahli politik menegaskan bahawa mereka bertekad menunjukkan pembunuhan itu tidak akan menghambat demokrasi. Pembunuhan Encik Abe menggemparkan Jepun, dengan Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu "tindakan kejam" yang "tidak boleh dimaafkan sama sekali".

Sejurus sebelum 6 pagi waktu Jepun, satu kereta mayat yang membawa balu Encik Abe, Cik Akie dan dipercayai membawa jenazah mantan pemimpin itu, meninggalkan hospital di Kashihara, barat Jepun di mana mendiang dirawat.

Para doktor di Hospital Universiti Perubatan Nara berkata tiada denyutan jantung dikesan pada Encik Abe semasa beliau tiba di hospital berkenaan dan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak meskipun pemindahan darah sudah dilakukan.

Encik Abe merupakan Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan, antara 2006 hingga 2007, dan 2012 hingga 2020.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dalam reaksinya berkata beliau "terkejut, marah dan sangat sedih", dan mengarahkan bendera di bangunan pemerintah AS dikibarkan separuh tiang.

Di Beijing, Presiden China, Encik Xi Jinping menghantar ucapan takziah kepada Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, lapor media tempatan. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg