Topic followed successfully
Go to BHkuJepun terima pelancong dari 4 negara, termasuk S'pura, bagi lawatan berpakej
Jepun terima pelancong dari 4 negara, termasuk S'pura, bagi lawatan berpakej
Jepun terima pelancong dari 4 negara, termasuk S'pura, bagi lawatan berpakej
TOKYO: Jepun akan mula menerima pelancong dari luar negara, termasuk Singapura, yang mengikuti pakej pelancongan mulai bulan ini.
Selain Singapura, pelancong dari Amerika Syarikat, Australia dan Thailand yang telah menerima tiga dos vaksinasi akan dibenarkan memasuki negara itu untuk pelancongan, kata kenyataan Agensi Pelancongan Jepun semalam.
Pelawat mesti membeli insurans perubatan mereka sendiri dan menyertai lawatan berpakej dengan jadual perjalanan yang telah ditetapkan dan yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Mereka juga perlu ditemani oleh pemandu pelancong sewaktu di sana.
"Untuk mengumpul maklumat yang diperlukan bagi meneruskan pelancongan ke Jepun, kami akan menjalankan projek percubaan dalam bentuk pakej pelancongan kumpulan kecil pada Mei, di mana agensi pelancongan akan mengawal pergerakan," kata agensi itu.
"Kami akan mengesahkan cara memastikan pelancong mematuhi langkah kawalan jangkitan dan prosedur tindak balas kecemasan, sambil melakarkan garis panduan untuk agensi pelancongan dan kemudahan penginapan."
Keempat-empat negara itu telah diiktiraf kerana mempunyai risiko Covid-19 yang lebih rendah untuk jenis mutan, dan merupakan pasaran utama bagi Jepun.
Agensi itu menambah bahawa butiran lanjut akan diputuskan bersama dengan Persatuan Ejen Pelancongan Jepun.
Sehingga kini, pelancong dari luar negara tidak dibenarkan masuk ke Jepun kerana pandemik Covid-19.
Tinjauan menunjukkan bahawa kebanyakan orang awam menyokong langkah itu, walaupun baru-baru ini sentimen mula mereda untuk mengalu-alukan kedatangan warga asing.
Tinjauan oleh akhbar Yomiuri pada hujung minggu lalu menunjukkan bahawa 51 peratus responden menyokong pelonggaran sekatan sempadan, manakala 41 peratus lagi berpendapat bahawa sekatan yang ketat itu perlu dikekalkan.
Satu lagi tinjauan oleh Japan News Network bulan ini menunjukkan 48 peratus menyokong pelonggaran sekatan dengan 38 peratus menentang pelonggaran tersebut, menurut laporan The Straits Times (ST).
Tetapi, pada Mac baru-baru ini, tinjauan oleh agensi media NHK menunjukkan bahawa 65 peratus merasakan sekatan itu wajar atau perlu diperketatkan lagi.
Daripada pembukaan semula secara besar-besaran, Perdana Menteri Encik Fumio Kishida bertindak dengan berhati-hati dan melihat sentimen orang ramai ekoran pilihan raya Dewan Kaunselor negara itu yang dijadualkan pada 10 Julai.
Bilangan jangkitan Covid-19 telah stabil di Jepun, dengan purata tujuh hari mencapai 37,954 kes pada Isnin. Di Tokyo, yang mempunyai seramai 14 juta penduduk, purata kes ialah 3,866 kes.
Sedang perdebatan hangat berlaku di Jepun mengenai keperluan menggunakan pelitup muka, kerajaan minggu lalu mengatakan bahawa pelitup muka boleh ditanggalkan di luar rumah tetapi hanya dalam persekitaran jarak sosial.
Laporan media juga mengatakan bahawa Jepun sedang bersiap sedia melonggarkan lagi langkah kawalan sempadan Covid-19 pada bulan hadapan sebagai langkah pertama ke arah menyambut lebih ramai pengunjung pada musim panas selepas pilihan raya.
Jepun merancang menggandakan had ketibaan harian kepada 20,000 orang dan mengecualikan pelancong dari beberapa negara daripada melakukan ujian rantaian polimerase (PCR) semasa ketibaan jika mereka menghasilkan ujian praberlepas yang negatif.
Pada masa ini, Jepun menghadkan kemasukan harian kepada 10,000 orang, termasuk penduduk yang pulang.
Semua yang datang mesti menunjukkan ujian PCR negatif yang diambil dalam masa 72 jam sebelum berlepas dan juga mesti mengambil satu lagi ujian PCR apabila tiba.
Mereka boleh dikecualikan daripada kuarantin jika ujian mereka negatif semasa ketibaan, berasal dari negara yang dianggap mempunyai risiko Covid-19 yang rendah, dan mereka telah divaksin sebanyak tiga kali dengan vaksin yang diluluskan oleh Jepun.
Jepun mengiktiraf vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca, dan Novavax Covid-19.
