Jepun tolak iktiraf negara Palestin, utamakan hubungan dengan AS
Jepun tolak iktiraf negara Palestin, utamakan hubungan dengan AS
Jepun tolak iktiraf negara Palestin, utamakan hubungan dengan AS
TOKYO: Jepun dijangka tidak akan mengiktiraf negara Palestin dalam masa terdekat meskipun tekanan antarabangsa semakin meningkat menjelang sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan September ini, lapor akhbar Asahi Shimbun pada 17 September yang memetik sumber kerajaan.
Keputusan itu dipercayai berpunca daripada usaha Tokyo untuk mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat serta mengelakkan ketegangan dengan Israel. Menurut laporan itu, Washington telah menggunakan beberapa saluran diplomatik untuk meminta Jepun menangguhkan langkah pengiktirafan pada ketika ini.
Perdana Menteri Jepun, Encik Shigeru Ishiba, dijangka tidak akan menghadiri mesyuarat khas mengenai penyelesaian dua negara yang dijadual berlangsung pada 22 September di New York. Langkah ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Jepun memilih pendekatan berhati-hati dalam isu sensitif tersebut.
Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Yoshimasa Hayashi, ketika ditanya mengenai laporan Asahi, mengulangi pendirian rasmi Jepun. Namun, beliau turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap serangan darat Israel di Bandar Gaza. “Kami melihat wujudnya krisis serius kerana asas kepada penyelesaian dua negara kini berisiko runtuh,” katanya dalam sidang media di Tokyo.
Beberapa buah kerajaan termasuk Britain, Perancis, Canada dan Australia, telah menyatakan kesediaan mengiktiraf negara Palestin di PBB pada bulan September ini, sekali gus menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel berhubung tindakannya di wilayah Palestin.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, turut menggesa Jepun agar bersama dalam usaha pengiktirafan bersama negara-negara tersebut.
Bagaimanapun, dalam kalangan negara Kumpulan Tujuh (G7), Jerman dan Italy menyifatkan pengiktirafan segera terhadap Palestin sebagai “tidak berkesan” dan berpotensi melemahkan rundingan damai.
Walaupun belum memberi pengiktirafan rasmi, Jepun tetap menyokong langkah antarabangsa ke arah penyelesaian dua negara. Pada 12 September lalu, Jepun bersama 142 negara lain mengundi menyokong deklarasi PBB yang menyeru “langkah konkrit, terikat masa, dan tidak boleh diundur” bagi merealisasikan negara Palestin.
Dalam masa sama, Menteri Luar Jepun, Encik Takeshi Iwaya, berkata kerajaan sedang membuat penilaian menyeluruh mengenai isu ini. “Kami sedang menilai masa dan kaedah paling sesuai berhubung kemungkinan pengiktirafan negara Palestin,” ujarnya.
Langkah Jepun menangguhkan pengiktirafan ini dilihat sebagai cubaan mengekalkan keseimbangan diplomatik di tengah konflik Gaza yang semakin meruncing. Sejak Oktober 2023, lebih 65,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, akibat serangan berterusan Israel.
Dalam sidang media sama, Encik Yoshimasa Hayashi mendesak Israel mengambil langkah konkrit untuk menamatkan krisis kemanusiaan. “Israel perlu segera mengambil tindakan substantif bagi menamatkan krisis kemanusiaan yang teruk, termasuk kebuluran,” katanya.
Penganalisis melihat pendirian Jepun ini sebagai usaha mengekalkan hubungan istimewa dengan Amerika, sambil mengelak daripada menjejaskan saluran diplomasi dengan Israel. Namun, tindakan itu juga berisiko menjejaskan imej Jepun sebagai negara yang selama ini dilihat mendukung multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
“Tokyo cuba mengimbangi hubungan dengan Washington dan Tel Aviv, tetapi ia mungkin dilihat lemah dalam menyokong hak rakyat Palestin,” kata seorang penganalisis di Universiti Tokyo.- Agensi berita

