Jerebu di Malaysia, rakyat luahkan perasaan dalam talian

PETALING JAYA - Rakyat Malaysia menggunakan wadah dalam talian untuk meluahkan perasaan mereka mengenai jerebu yang menyelubungi di negara itu.

Pengguna Twitter QNH (@nishahaquee) yang menetap di Selangor berkata dalam satu tweet: "Kini sudah masuk hari ketiga saya jatuh sakit akibat jerebu. Asyik muntah, pening dan susah bernafas. Kecewa sangat (kerana) saya tidak boleh melihat awam biru di (Selangor).”

Menurut laporan The Star dan Agence France-Presse (AFP), jerebu kerap menyelubungi Asia Tenggara semasa musim kering setiap tahun, kerana pemilik ladang di Indonesia sering menggunakan kaedah membakar untuk membersihkan kawasan hutan, supaya mereka dapat menanam tanaman seperti kelapa sawit.

Keadaan berjerebu kemudian akan menimbulkan kemarahan penduduk di negara jiran.

Misalnya, pengguna Twitter bernama M (@mysafeground) mendedahkan dalam satu tweet bahawa beliau mengalami gatal-gatal di kulit, sakit tekak dan hidungnya berair akibat jerebu.

"Saya juga tidak boleh berlari-lari anak di luar, ini amat membosankan,” katanya.

Beberapa minggu kebelakangan ini, pemerintah Indonesia telah mengerahkan ribuan pegawai untuk memadamkan api, malah telah mengisytiharkan keadaan kecemasan di enam wilayah di Sumatra dan Borneo.

Indeks pencemaran udara (API) dari laman web API Malaysia menunjukkan 19 kawasan di lapan negeri telah mencapai paras tidak sihat sehingga 5 petang pada Rabu (11 September), dengan daerah Rompin di Pahang mencatat tahap 224 iaitu, tahap "sangat tidak sihat".

Tahap API di Kuching, Sri Aman dan Samarahan di Sarawak berada di paras yang tidak sihat, seperti kebanyakan kawasan di Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Setiap tahun, negara di Asia Tenggara menderita akibat jerebu yang berpunca daripada amalan pembakaran hutan di Indonesia, justeru menjejas kesihatan dan industri pelancongan.

Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam usahanya untuk memadamkan kebakaran di Kalimantan dan Sumatra.

Namun, Dr Agus Wibowo, selaku jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata negara itu tidak memerlukan bantuan daripada negara luar, dan mampu menguruskan masalah itu sendiri.

Dalam pada itu, pihak berkuasa di wilayah Jambi dan Riau di Sumatra telah mengarahkan agar semua sekolah ditutup. -Agensi berita.