Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jerebu: Penduduk di kawasan terjejas M'sia dinasihati hati-hati

Apr 18, 2023 | 5:30 AM
DISELUBUNGI JEREBU: Jarak penglihatan Menara Berkembar Petronas KLCC Kuala Lumpur terbatas ekoran jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 150 iaitu tidak sihat. - Foto BERNAMA
DISELUBUNGI JEREBU: Jarak penglihatan Menara Berkembar Petronas KLCC Kuala Lumpur terbatas ekoran jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan 150 iaitu tidak sihat. - Foto BERNAMA -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati penduduk di kawasan yang terjejas dengan jerebu supaya berhati-hati kerana keadaan tersebut berpotensi menjejas kesihatan, dan menyebabkan penyakit radang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata jerebu boleh menyebabkan seseorang mengalami gejala sakit tekak, selesema serta kegatalan kulit.

"Apabila kita berada di luar rumah, jerebu merupakan partikel udara seperti asap, yang berisiko masuk ke saluran pernafasan dan menyebabkan iritasi kepada mata dan hidung.

"Asap jerebu boleh menyebabkan seseorang itu mengalami gejala sakit tekak, selesema serta kegatalan kulit.

"Berhati-hati, jangan keluar rumah jika tiada keperluan khususnya kanak-kanak dan mereka yang mempunyai semput," katanya menerusi perkongsian video di TikTok pada Isnin.

Dr Zaliha, yang juga Ahli Parlimen Sekijang, berkata demikian ketika mengulas mengenai kawasan Segamat yang terletak dalam Parlimen Sekijang yang ketika ini berdepan masalah jerebu sejak beberapa hari lalu.

Katanya, keadaan jerebu di kawasan Segamat ketika ini agak teruk hinggakan jarak penglihatan tidak sampai 200 meter, manakala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan di antara 145 hingga 150.

Beliau menjelaskan, jerebu mampu memberi kesan jangka panjang seperti penyakit kardiovaskular atau masalah berkaitan jantung.

Terdahulu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam kenyataannya, sudah bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlakunya fenomena jerebu, ekoran cuaca panas yang sedang melanda Semenanjung ketika ini

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Seberang Jaya mencatatkan keadaan udara tidak sihat pada paras 151 bacaan indeks, pada jam 10 pagi Isnin, berbanding bacaan pada tahap sederhana 105 pada malam Ahad.

Bacaan IPU di Segamat mencatatkan bacaan status kualiti udara tidak sihat pada tahap sederhana iaitu 96.

Manakala, kawasan Cheras mencatatkan bacaan sederhana iaitu 100 dan meningkat kepada bacaan 103 sejam kemudian.

Bacaan di antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 ke 200 (tidak sihat); 201 ke 300 (sangat tidak sihat); serta 300 dan ke atas (berbahaya). - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg