SEORANG mantan pegawai polis yang kemudiannya naik pangkat menjadi ketua keselamatan Hong Kong, Encik John Lee adalah satu-satunya individu yang dipercayai pemimpin China untuk mentadbir wilayah khas itu sebagai pegawai setia mereka, ujar penganalisis dan orang yang mengenali Encik Lee.
Encik Lee, 64 tahun, dipilih sebagai ketua eksekutif Hong Kong seterusnya oleh satu jawatankuasa kecil baru-baru ini, tanpa sebarang pertandingan, dengan sokongan Beijing.
Beliau memenangi lebih 99 peratus undi daripada 1,461 anggota jawatankuasa itu. Beliau bakal mengambil alih tugas jawatan ketua eksekutif itu pada 1 Julai, yang kini dijawat Cik Carrie Lam.
Encik Lee merupakan mantan ketua keselamatan dalam pentadbiran Cik Lam dan kemudian menjadi timbalannya.
Kenaikan pangkat beliau adalah satu perkara agak luar biasa bagi seorang lelaki yang kerjaya polisnya telah mengangkatnya daripada keluarga kelas pekerja kepada golongan atasan politik Hong Kong.
Ia juga meletakkan seorang pegawai keselamatan dalam jawatan tertinggi di bandar itu buat kali pertama.
RAPAT DENGAN CHINA
Mereka yang tahu perkara dalaman menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi Encik Lee terhadap peranan itu memenangi keyakinan China pada masa golongan elit Hong Kong lain dilihat sebagai tidak cukup setia atau kurang cekap.
"John Lee adalah orang yang pihak berkuasa Beijing kenali dan paling rapat, kerana beliau sentiasa berhubung dan berinteraksi dengan mereka," kata ahli parlimen propemerintah dan tokoh perniagaan terkemuka, Encik Michael Tien, memberitahu AFP.
Menteri keselamatan Hong Kong sebelum ini, Encik Lai Tung-kwok, pula berkata Encik Lee telah membuktikan dirinya.
"Beliau adalah seorang yang telah menghadapi ujian," kata Encik Lai kepada AFP.
"Jika beliau benar-benar mahukan sesuatu dilakukan, beliau akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi halangan itu."
Encik Chien-yu Shih, pakar dalam isu keselamatan China di Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Nasional Taiwan, berkata beliau percaya Beijing mula memberi perhatian kepada Encik Lee selepas bantahan demokrasi 2019.
Bantahan besar-besaran dan kadangkala bertukar ganas itu merupakan cerminan kemarahan sebilangan penduduk Hong Kong kerana mereka berasa tidak dapat bersuara tentang cara bandar itu ditadbir.
Tetapi pemerintah China melihat bantahan itu sebagai plot yang disokong kuasa asing yang dikendalikan oleh "pengganas", satu pendirian yang turut dipegang Encik Lee.
"Beijing telah memerhatikan tokoh politik mana yang sanggup mengikut naratif mereka," kata Encik Shih, sambil menambah, pemimpin China masih tidak mempercayai penjawat awam Hong Kong lain.
KEPINTARAN PERNIAGAAN
Memandangkan latar belakang keselamatannya, Encik Lee akan memasuki bidang yang kurang diketahuinya, iaitu dunia perniagaan, dengan bidang itu kini terjejas teruk dek langkah sekatan ketat Covid-19.
Hong Kong, yang pernah menjadi hab perniagaan hebat pelbagai bidang, telah terputus hubungan di peringkat antarabangsa semasa pandemik kerana ia mematuhi strategi ketat sifar-Covid Beijing.
Ada pula mengatakan pelantikan Encik Lee mengesahkan bahawa China kini mengutamakan keselamatan politik Hong Kong daripada isu perniagaan dan mata pencarian.
"Pada masa lalu, China mungkin berkompromi bagi meraih faedah ekonomi," kata Encik Charles Mok, bekas ahli parlimen prodemokrasi yang kini tinggal di luar negara, memberitahu AFP.
"Tetapi sekarang nampaknya Beijing mahu rakyatnya merasakan dunia ini penuh dengan ancaman dan ia hanya selamat untuk berpegang teguh kepada Parti (Komunis).
TUMPUAN KESELAMATAN NEGARA
Selepas dipilih sebagai bakal ketua eksekutif Hong Kong seterusnya, Encik Lee berikrar meneruskan usaha untuk meningkatkan keselamatan negara dan mempercepatkan penyepaduan dengan China.
Beliau berkata tugas barunya memerlukan kebertanggungjawapan kepada kedua-dua Beijing dan 7.4 juta penduduk Hong Kong.
"Memelihara kedaulatan negara kita, keselamatan negara dan kepentingan pembangunan, melindungi Hong Kong daripada ancaman dalaman dan luaran dan memastikan kestabilannya, akan terus menjadi sangat penting," ujarnya.
Encik Lee berkata beliau juga akan berusaha meningkatkan daya saing Hong Kong dan berusaha untuk menyepadukan ekonominya dengan wilayah jiran Guangdong sebagai sebahagian rancangan Greater Bay Area.
"Kita mesti meluaskan ketersambungan antarabangsa kita, mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih menggalakkan dan meningkatkan daya saing keseluruhan kita," kata Encik Lee sambil menambah bahawa perumahan dan ketidaksamaan juga merupakan agenda utamanya.
SOKONGAN PERNIAGAAN
Banyak syarikat berbilang negara Barat dan hartawan setempat telah menerbitkan iklan akhbar mengucapkan tahniah kepada Encik Lee, tanda beri sokongan.
Majoritinya adalah daripada perniagaan China dan Hong Kong serta pertubuhan masyarakat.
Firma perakaunan "Big Four" - KPMG, Deloitte, EY dan PwC - adalah antara syarikat antarabangsa Barat yang meletakkan iklan, selain syarikat penerbangan Cathay Pacific dan konglomerat Swire dan Jardine Matheson.
Perniagaan Barat sebelum ini sering mendapati diri mereka berada dalam kedudukan semakin tidak menentu di Hong Kong, terutamanya apabila ketegangan geopolitik meningkat antara China dengan negara Barat.
Namun mereka biasanya mengelak daripada sebarang kritikan terhadap dasar China termasuk berkaitan wilayah Hong Kong, Xinjiang, Tibet dan Taiwan.