NEW YORK: Syarikat Johnson & Johnson (J&J) akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023. Syarikat itu mengumumkan perkara itu semalam (11 Ogos), setelah lebih dua tahun menamatkan penjualan produk itu di Amerika Syarikat (AS) yang mengundang ribuan saman berhubung keselamatan pengguna. "Sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio di seluruh dunia, kami membuat keputusan komersil untuk beralih kepada pengeluaran bedak bayi berasaskan tepung jagung, katanya, sambil menambah bedak bayi berasaskan tepung jagung sudah dijual di negara-negara di seluruh dunia.
Pada 2020, Johnson & Johnson mengumumkan akan menghentikan penjualan bedak bayi talkum di AS dan Canada kerana permintaan merosot berikutan apa yang ia gelar 'maklumat salah mengenai keselamatan produk ketika banyak saman mengenainya'.
Syarikat itu berdepan kira-kira 38,000 tindakan saman daripada pengguna dengan mereka yang terselamat mendakwa produk talkumnya menyebabkan barah akibat pencemaran dengan asbestos, sejenis karsinogen yang diketahui. Syarikat itu menafikan dakwaan terbabit, mengatakan ujian saintifik dan kelulusan kawal selia selama beberapa dekad menunjukkan talkumnya selamat dan bebas asbestos.
Semalam, syarikat itu mengulangi kenyataan yang sama ketika membuat pengumuman terbaru itu. Satu siasatan Reuters pada 2018 mendapati, syarikat J&J selama beberapa dekad tahu bahawa asbestos terdapat di dalam produk talkumnya. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg