JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini pada Jumaat dan Sabtu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau maklum mengenai keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza antara pihak kerajaan dan swasta.
"Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini supaya ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.
"Perkara ini akan saya umumkan kelak setelah mendapat kaedah yang paling tuntas untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini semalam.
Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-55, dilaporkan menitahkan cuti hujung minggu negeri Johor ditukar kepada Jumaat dan Sabtu.
Baginda dilaporkan bertitah, pertukaran itu berkuat kuasa 1 Januari 2014 bagi memudahkan rakyat negeri ini beribadat dengan tenang.
Media setempat melaporkan beberapa penduduk Johor menyambut baik langkah kerajaan negeri untuk mengkaji semula cuti mingguan tersebut.
Mereka berkata penyelarasan sama antara cuti pekerja kerajaan dan swasta dilihat memudahkan pergerakan dan aktiviti, khususnya yang membabitkan keluarga. - BHM, Agensi
"Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini supaya ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.''
- Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg