Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi: 7.5 juta penduduk Jakarta divaksin Ogos ini

Jun 25, 2021 | 5:30 AM
SI CILIK DIJANGKITI: Seorang doktor memeriksa seorang bayi yang diuji positif Covid-19 di sebuah hospital di Bogor pada 23 Jun lalu, sedang kadar jangkitan di Indonesia terus melonjak dan rumah sakit umum dibanjiri pesakit baharu, sekaligus memberi amaran akan krisis kesihatan yang mungkin berlaku hingga di luar kawalan di Indonesia. - Foto AFP
SI CILIK DIJANGKITI: Seorang doktor memeriksa seorang bayi yang diuji positif Covid-19 di sebuah hospital di Bogor pada 23 Jun lalu, sedang kadar jangkitan di Indonesia terus melonjak dan rumah sakit umum dibanjiri pesakit baharu, sekaligus memberi amaran akan krisis kesihatan yang mungkin berlaku hingga di luar kawalan di Indonesia. - Foto AFP -

JAKARTA: Presiden Joko 'Jokowi' Widodo kini sibuk mengunjungi pusat-pusat vaksinasi di Jakarta, memantau program vaksinasi kebangsaan dan mendorong mereka yang berada di ibu kota untuk menjalani inokulasi dengan segera.

"Saya telah menyampaikan kepada gabenor Jakarta bahawa pada akhir Ogos, sasarannya adalah 7.5 juta penduduk di Jakarta mesti telah divaksinasi," katanya pada 14 Jun lalu semasa melakukan kunjungan ke acara vaksinasi awam di sebuah kawasan penduduk.

Dengan lebih dua juta kes Covid-19, Indonesia kini berdepan dengan lonjakan jangkitan selepas lebih sebulan sambutan perayaan Aidilfitri di mana warga kota mudik ke kampung halaman untuk bersama keluarga tersayang dan ribuan lagi membanjiri pusat tumpuan pelancong.

Walaupun Encik Jokowi - panggilan mesranya - akur bahawa sasaran 7.5 juta penduduk Jakarta adalah agak tinggi, beliau berkata ia perlu dilakukan demi mencapai kelalian masyarakat di ibu kota.

Jakarta, yang merupakan pusat pandemik Covid-19, didiami lebih 10.5 juta penduduk.

Pakar yang ditemubual penyiar berita CNA berkata, melaksanakan inokulasi ke atas 7.5 juta penduduk Jakarta boleh dicapai pada akhir Ogos ini kerana ibu kota itu ada prasarana dan vaksin mencukupi.

Walaupun demikian, ia bukan satu kepastian akan membawa kepada kelalian masyarakat.

Untuk mencapai kelalian masyarakat, masa diperlukan untuk daya tahan badan dihasilkan semula, kata Profesor Tjandra Yoga Aditama, mantan pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Pejabat Serantau Asia Tenggara (WHO SEARO).

Beliau juga maklum bahawa keberkesanan vaksin belum lagi diketahui sepenuhnya.

"Setiap vaksin itu secara praktikal boleh menangani varian semasa, tetapi keberkesanannya menurun (bagi varian baru yang timbul)," katanya.

Indonesia telah menerima sekitar 104.7 juta vaksin dengan sebahagian besar adalah dari Sinovac, diikuti oleh AstraZeneca dan Sinopharm.

Sehingga 21 Jun lalu, sekurang-kurangnya 3.5 juta orang di Jakarta telah menerima suntikan pertama sementara 1.8 juta telah menerima suntikan kedua.

Prof Aditama, kini merupakan pengarah pengajian pascasiswazah di Universiti Yarsi di Jakarta, menerangkan bahawa dalam usaha untuk mencapai sasaran, sekurang-kurangnya lima faktor perlu memainkan peranan, yakni: kesediaan vaksin, prasarana, kecepatan vaksin, kemudahan mendapatkan vaksin dan perhubungan awam.

Beliau percaya secara amnya kesediaan vaksin dan prasarana bukanlah masalah besar di Jakarta, faktor seperti kemudahan mendapat vaksinasi, kecepatan vaksin dan perhubungan awam tidak harus dipandang ringan.

Beliau menyarankan mempermudah lagi laluan ke pusat vaksinasi dengan mengadakan pusat vaksin di semua klinik kesihatan selain di stadium dan gedung beli-belah di pusat bandar.

Sebelum ini, Presiden Jokowi melaksanakan pelan sekatan 'mikro' bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan terjejas teruk.

Namun usaha ini dikritik kerana gagal capai matlamat ketika semua negara serantau mengambil langkah lebih tegas.

Antara yang mengkritik termasuk Gabenor Yogyakarta, Hamengkubuwono X, juga digelar Sultan Yogyakarta, yang mahu langkah proaktif seperti perintah berkurung berskala besar dilaksana.

Beliau menegaskan, pentadbiran kerajaan masih berkira-kira untuk mengenakan penutupan penuh di negeri itu meskipun berlaku peningkatan kes yang ketara sejak cuti perayaan Aidilfitri.

Gabenor itu berpendapat, sekatan skala mikro aktiviti awam (PPKM Mikro) tidak cukup untuk menyekat jangkitan koronavirus, yang meningkatkan kadar kematian di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

"Langkah yang sepatutnya sekarang adalah penutupan penuh," katanya kepada media tempatan. - CNA, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg