JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) meluahkan kebimbangan berlakunya kesesakan lalu lintas yang dahsyat apabila 40 juta kenderaan dijangka menggunakan jalan darat untuk pulang beraya.
Justeru, Encik Jokowi menggesa agar rakyat membuat perancangan yang rapi dan teliti sebelum memulakan perjalanan balik kampung atau dikenali sebagai 'mudik'.
"Ada 23 juta kereta persendirian dan 17 juta motosikal yang dijangka membanjiri jalan-jalan utama di Indonesia bagi mudik lebaran terutama pada tarikh 28 hingga 30 April ini.
"Itu bukan satu jumlah yang kecil, dan saya sangat bimbang, jika tiada perancangan perjalanan yang rapi, anda semua akan mengalami kesesakan lalu lintas yang sangat teruk," ujarnya seperti yang dilaporkan di berita Kompas.
Tambah Encik Jokowi, bagi yang berkesempatan pulang lebih awal, mereka disaran berbuat demikian agar masalah kesesakan trafik dapat dikurangkan.
"Pemerintah akan melaksanakan beberapa peraturan seperti penggunaan jalan sehala dan larangan kemasukan lori serta kenderaan berat bagi membantu melancarkan mudik pada tahun ini.
"Namun, ia belum boleh menjamin kelancaran di jalan raya jika terlalu banyak kenderaan memulakan perjalanan balik kampung secara sekali gus," tegas Encik Jokowi.
Menteri Pengangkutan Indonesia, Encik Budi Karya Sumadi, turut menyeru rakyat negara itu supaya tidak menggunakan motosikal ketika pulang berhari raya tahun ini, lapor laman berita Tribunnews.
Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan pembayaran tol lebuh raya akan menjadi percuma sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas lebih satu kilometer (km) semasa mudik lebaran.
Menurut laporan laman berita Suara, Menteri Pengangkutan, Encik Budi Karya Sumadi, mengesahkan hal itu bagi memastikan perkhidmatan tol dilaksanakan ke tahap maksimum semasa sambutan Aidilfitri.
"Jika kesesakan di gerbang tol melebihi satu kilometer, maka ia tidak perlu dibayar, automatik jadi percuma.
"Ini bagi mengelak kesesakan berlanjutan bagi tempoh yang lama," jelas Encik Budi.
Bagaimanapun, kebanyakan pengguna media sosial dilihat seperti kurang percaya dengan jaminan itu dan dianggap sebagai strategi pemasaran semata-mata.
"Adakah jaminan ini boleh dipercayai dan bukah sekadar khabar angin?" komen seorang pengguna media sosial.
Menurut Encik Budi, faktor keselamatan adalah perkara yang paling dibimbangi apabila rakyat memilih untuk pulang ke kampung menggunakan motosikal.
"Saya mohon secara peribadi supaya anda semua tidak menggunakan motosikal untuk pulang beraya di kampung.
"Balik kampung di Hari Raya adalah sangat memenatkan kerana kesesakan jalan raya dan ditambah pula apabila kita berpuasa," kata Encik Budi.
Tambah Encik Budi, penduduk boleh memilih pengangkutan awam seperti bas dan kereta api sebagai alternatif lain untuk pulang beraya.
Jika mereka tetap mahu membawa pulang motosikal ke kampung, kerajaan ada menyediakan perkhidmatan mengangkut kenderaan menggunakan jalan darat dan laut.
"Kami menyediakan lori dan kapal untuk mengangkut motosikal pulang ke kampung bersama pemiliknya," sambung Budi.
Indonesia telah menarik balik larangan perjalanan domestik pada musim cuti sempena sambutan Aidilfitri selepas tradisi pulang atau mudik ke kampung di republik itu disekat selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19.
Penarikan balik itu berikutan situasi Covid-19 yang semakin pulih memberi keyakinan, terutama ketika bakal menyambut Ramadan.
Keputusan membenarkan pergerakan tahunan selepas berakhirnya Ramadan itu adalah langkah terbaru dilaksanakan dalam melonggarkan sekatan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara itu.
Indonesia yang mempunyai 270 juta penduduk, menyekat perjalanan besar-besaran tradisi 'mudik' pada awal 2020 dalam usaha untuk membendung penularan Covid-19.
Bagaimanapun, jutaan penduduk mengingkari larangan itu dan meninggalkan pusat bandar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, sebagaimana tradisi diamalkan majoriti penduduk negara lain yang beragama Islam.
Selepas kes Covid-19 mula mendatar ketika memuncak pada pertengahan Februari susulan penularan varian Omicron, Indonesia turut menarik balik sekatan perjalanan dalam dan luar negara.
Awal minggu ini, Indonesia menggugurkan peraturan kuarantin untuk ketibaan pengembara asing yang sudah divaksinasi, berikutan langkah sama dilaksanakan di negara jiran lain.
Kini Indonesia bersedia bagi pergerakan lebih 85 juta penduduknya pulang ke kampung di serata negara itu menjelang Aidilfitri awal bulan depan, dengan beberapa langkah tambahan dikenakan untuk mengekang lonjakan kes Covid-19.
Kajian kerajaan menunjukkan kebanyakan yang terbabit dengan pergerakan besar-besaran dikenali sebagai 'mudik' itu menetap di bandar raya Jakarta serta beberapa bandar utama lain.
Mereka mula pulang dengan menggunakan pengangkutan udara, darat dan laut.
"Ini adalah mudik pertama selepas dua tahun ia dilarang sebelum ini. Kita membuat persediaan mencukupi menjelang waktu itu," kata Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Encik Muhadjir Effendy.
Jumlah purata kes harian Covid-19 untuk minggu pertama Ramadan merekodkan penurunan di bawah 3,000 kes berbanding sekitar 55,000 kes pada pertengahan Februari lalu, ketika gelombang Omicron memuncak.
Operator lebuh raya bertol Indonesia, Hutama Karya, memperketatkan beberapa protokol kesihatan untuk mengekang penularan COVID-19 dengan kerap menyahkuman kawasan tol, pos kawalan dan kawasan rehat.
Ketua Hutama Karya, Encik Budi Harto, berkata jumlah kawasan rehat juga akan ditambah sebagai persediaan menguruskan orang ramai.
Pengerusi persatuan operator lebuh raya bertol Indonesia, Encik Subakti Syukur, pula memaklumkan pihak operator merancang untuk menambah trak tunda, ambulans, stesen perkhidmatan bergerak dan stesen minyak di sepanjang laluan mudik. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg