JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, telah meminta penyaluran paket ubat percuma bagi penderita Covid-19 yang menjalani pengasingan secara sendiri diawasi secara ketat.
Akhbar Kompas melaporkan semalam, Presiden Jokowi menekankan agar paket ubat yang disediakan pemerintah mampu benar-benar membantu masyarakat.
"Saya minta agar dilakukan pengawasan yang ketat di lapangan agar program ini betul-betul mencapai tahap maksimal mengurangi risiko Covid-19 dan membantu pengubatan warga yang menderita Covid-19," ujar Jokowi dalam sambutannya usai meluncurkan paket ubat pengasingan diri percuma untuk rakyat di halaman Istana Negara, semalam.
Selain itu, beliau meminta agar program ini tidak mengganggu ketersediaan ubat-ubatan utama di farmasi ataupun di rumah sakit.
Tambah Encik Jokowi, pemerintah mulai semalam akan membahagikan paket vitamin dan ubat untuk pesakit Covid-19 yang menjalani pengasingan secara sendiri.
Kebimbangan terus meningkat di Indonesia atas keupayaan pemerintah tempatan menangani lonjakan kes koronavirus, menurut menteri kesihatannya, Encik Budi Gunadi Sadikin, sedang varian 'Delta' terus mengasak dan menular di kepulauan terbesar dunia itu.
Indonesia kini terkapai-kapai dalam membendung penularan jangkitan Covid-19, dengan jumlah harian mencecah 54,517 kelmarin, menjadikan jumlah kes keseluruhan mencapai lebih 2.67 juta.
Perangkaan yang didedahkan pasukan bertindak Covid-19 Indonesia menunjukkan jumlah korban mencapai 69,210 - termasuk 991 yang meninggal dunia kelmarin.
Menurut Encik Budi, varian Delta yang mula dikesan di India telah ditemui di 11 kawasan di luar Pulau Jawa yang padat penduduk.
Jumlah kes dan kadar penggunaan katil di hospital di bahagian Sumatra, Papua dan Kalimantan, atau Borneo Indonesian serta rantau pendalaman seperti Papua Barat benar-benar memprihatinkan, beliau memberitahu sidang parlimen minggu ini.
"Kita mesti memantau keadaan dengan ketat kerana jika sesuatu berlaku di sana, daya kesihatan mereka adalah lebih rendah berbanding Jakarta atau Jawa," kata Encik Budi.
Di Nusa Tenggara Timur, jumlah jangkitan telah meningkat lebih seganda sejak tiga hari lalu, sementara di Lampung, Sumatra, kadar penggunaan katil pada Isnin lalu telah mencecah 86 peratus, Kalimantan Timur (85 peratus), dan Papua Barat (79 peratus).
Seorang pakar penularan wabak (estimiologi) di Lampung, Dr Ismen Mukhtar berkata, daerah-daerah di Indonesia sangat rentan.
"Kemudahan kesihatan amat diperlukan segera kerana ia menyelamatkan nyawa. Tapi apa yang lebih penting adalah dalam mengekang penularan," katanya.
Hospital di Pulau Jawa melimpah ruah dengan pesakit sejak beberapa minggu ini, dengan ramai orang terkapai-kapai dalam mendapatkan rawatan.
Kebanyakan daripada 550 yang telah meninggal dunia semasa dalam pengasingan sejak Jun, berada di Pulau Jawa, menurut data bebas yang dibentangkan kumpulan bebas, Lapor Covid-19.
Sedang pakar kesihatan Indonesia memberi amaran bahawa republik itu boleh berdepan keadaan buruk serupa di India, pemerintah pusat telah berusaha meningkatkan keupayaan menangani penularan dan mendapatkan bekalan oksigen secukupnya.
Menteri kanan, Encik Luhut Binsar Pandjaitan, yang mengetuai usaha kecemasan negara berkata kelmarin, bekalan oksigen kini ditangani dengan baik, dengan lebih 1,500 penjana oksigen dijangka tiba dari Singapura dan China.
Lebih daripada 2,000 doktor lulusan baharu dan 20,000 jururawat akan dikerahkan ke rumah sakit, tambahnya. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg