Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi nafi beberapa menteri letak jawatan

Jan 22, 2024 | 3:16 PM
JADI SOROTAN: Menteri Kewangan Indonesia, Cik Seri Mulyani (kiri berdiri) yang mengelak memberi komen terhadap dakwaan yang beliau meletakkan jawatan. Gambar menunjukkan beliau bersama Presiden Joko Widodo pada 19 Januari di Istana Presiden.
JADI SOROTAN: Menteri Kewangan Indonesia, Cik Seri Mulyani (kiri berdiri) yang mengelak memberi komen terhadap dakwaan yang beliau meletakkan jawatan. Gambar menunjukkan beliau bersama Presiden Joko Widodo pada 19 Januari di Istana Presiden. - Foto FACEBOOK SRI MULYANI

JAKARTA: Presiden Joko Widodo menafikan spekulasi bahawa beberapa menteri Kabinet telah meletak jawatan, termasuk Menteri Kewangan Cik Sri Mulyani Indrawati. Beliau berkata Kabinet Maju Indonesia masih menjalankan tugasnya.

“Setiap hari kita ada mesyuarat. Mesyuarat terhad dan dalaman dengan semua menteri atau sebahagian menteri,” katanya dipetik agensi berita Antara selepas meraikan ulang tahun ke-78, Muslimat Nahdlatul Ulama.

Presiden Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berkata, spekulasi tersebut sengaja ditimbulkan pada pertengahan musim kempen politik menjelang pilihan raya umum pada 14 Februari.

Pakar ekonomi di Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (INDEF), Encik Faisal Basri berkata pada Sabtu 20 Januari di sebuah forum politik dan ekonomi, bahawa 15 menteri daripada kalangan teknokrat dan luar parti politik, telah meletak jawatan.

Beliau menganggap Presiden Jokowi memihak kepada calon presiden dan naib presiden, Encik Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka.

Encik Gibran ialah anak sulung Presiden Jokowi.

Encik Faisal menambah, para menteri sedang menunggu momentum yang sesuai untuk meletakkan jawatan.

Menurutnya, menteri-menteri itu akan mengikuti langkah beberapa menteri kabinet yang meletakkan jawatan pada tahun terakhir pentadbiran Presiden Suharto pada 1998.

“Semoga momentum ini insya-Allah tidak lama lagi menjadi pencetus ampuh, sama seperti Pak Ginandjar (Menteri Penyelaras Ekonomi, Kewangan dan Industri, Ginandjar Kartasasmita) dan 12 menteri lain meletakkan jawatan di era Presiden Suharto,” kata Encik Faisal.

Beliau menyeru orang ramai supaya memujuk menteri-menteri yang sedia meletakkan jawatan, supaya segera melaksanakan rancangan mereka.

Ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Jokowi pada 19 Januari, Cik Sri Mulyani berkata: “Ini saya buat kerja. Saya kerja.”

Seorang pegawai kanan di Istana Presiden berkata pada 19 Januari berkata bahawa berita mengenai kemungkinan peletakan jawatan beberapa menteri kanan kabinet adalah khabar angin yang direka untuk menyemai kekeliruan yang boleh mengakibatkan ketidakstabilan pentadbiran Presiden Jokowi.

Ketua Staf Presiden Encik Moeldoko, yang juga bekas Jeneral Tentera Indonesia (TNI), juga menolak spekulasi itu, dan berkata bahawa kabinet tetap bersatu di belakang Presiden dan sedang berusaha mencapai matlamat pembangunannya.

Isu meletakkan jawatan merupakan antara topik yang hangat dibahaskan dalam forum politik dan media.

Sebilangan tokoh masyarakat telah menyertai gerakan yang dipanggil Petisyen 100, untuk bertemu dengan menteri Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Encik Mahfud MD, pada 9 Januari lalu, menuntut Encik Jokowi supaya didakwa.

Dalam pilihan raya umum 2024 ini, rakyat Indonesia akan turun padang untuk memilih pemimpin seterusnya bagi menggantikan Encik Jokowi, yang akan menamatkan penggal kedua dan terakhir sebagai presiden pada Oktober. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg