Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jokowi pemimpin negara asing pertama lawat China selepas Sukan Olimpik

Jul 26, 2022 | 5:30 AM
PERTEMUAN BERSEMUKA: Presiden Joko Widodo (atas) dijadualkan bertemu Presiden Xi Jinping bagi "bertukar-tukar pandangan secara mendalam dengan menumpukan perhatian kepada soal perhubungan dua hala dan isu-isu utama perhubungan antarabangsa". - Foto-foto AFP
PERTEMUAN BERSEMUKA: Presiden Joko Widodo (atas) dijadualkan bertemu Presiden Xi Jinping bagi "bertukar-tukar pandangan secara mendalam dengan menumpukan perhatian kepada soal perhubungan dua hala dan isu-isu utama perhubungan antarabangsa". - Foto-foto AFP -

PRESIDEN Indonesia, Encik Joko Widodo, akan menjadi pemimpin negara asing pertama melakukan lawatan ke China selepas Sukan Olimpik yang berlangsung Februari lalu.

Lawatan beliau, yang juga akrab dengan panggilan Presiden Jokowi itu, dilihat sebagai memberi isyarat bahawa penyepian China, kuasa ekonomi kedua terbesar itu gara-gara pandemik Covid-19 akan dilonggarkan.

Presiden Jokowi dijadualkan bertemu pemimpin China, Presiden Xi Jinping, dan Perdana Menteri Li Keqiang semalam dan hari ini bagi "bertukar-tukar pandangan secara mendalam dengan menumpukan perhatian kepada soal perhubungan dua hala dan isu-isu utama perhubungan antarabangsa".

Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Ehwal Luar China, Encik Wang Wenbin, pada Khamis lalu semasa taklimat akhbarnya di Beijing.

Pebincangan antara Presiden Jokowi dengan rakan sejawatannya itu itu diadakan secara bersemuka, kata Teuku Faizasyah, seorang jurucakap di Kementerian Ehwal Luar Indonesia pada Jumaat lalu.

Lawatan Presiden Jokowi itu juga dilihat sebagai isyarat bahawa Beijing sudah mula membuka pintu kepada lebih ramai tamu terhormat asing.

Kebelakangan ini, tiada pemimpin negara asing yang bertamu ke China sejak bermulanya pandemik kecuali semasa Sukan Olimpik pada Februari lalu.

Ketika itu, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, melakukan kunjungan.

China menyangkal laporan yang mengatakan Presiden Xi mengundang pemimpin Eropah ke Beijing untuk menghadiri mesyuarat.

Beberapa diplomat seperti Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Wendy Sherman, dan duta kaji cuaca Amerika, Encik John Kerry, berkunjung ke Tianjin untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan China.

Presiden Xi lebih cenderung berhubungan menerusi panggilan video dengan pemimpin seperti Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan rakan sejawatannya dalam Kumpulan 20 (G-20).

Pendekatan China dalam menangani isu koronavirus secara serius dikuatkuasakan dengan sepenuhnya oleh Beijing.

Para pegawai negara itu lebih fokus untuk mengekang penularan wabak tersebut terutama sebelum diadakan kongres Parti Komunis China yang dijadualkan lewat tahun ini.

Presiden Xi dipercayai akan mempertahan kedudukannya buat penggal ketiga.

Itulah sebabnya mengapa China tegas melaksanakan strategi Sifar Covid.

Kali terakhir Presiden Xi ke luar negara adalah pada Januari 2020, sejurus sebelum penutupan pusat bandar Wuhan dikuatkuasakan.

Beliau juga berkunjung ke Hong Kong, menghadiri upacara mengangkat sumpah Ketua Eksekutif John Lee pada Julai tahun itu. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg