AMMAN: Jordan dan Syria bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa keselamatan bersama bagi menyiasat serangan udara tentera Jordan di selatan Syria yang mengorbankan tujuh orang awam, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita.

Persetujuan itu dicapai selepas serangan terhadap kedudukan yang didakwa menjadi pangkalan kumpulan militan ISIS mencetuskan ketegangan diplomatik paling serius antara kedua-dua negara sejak kejatuhan pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Serangan udara pada 26 Oktober itu dilancarkan Jordan sebagai tindak balas terhadap kejadian tembakan di sebuah gereja di wilayah Karak, selatan Jordan, yang mengorbankan sembilan orang.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 28 Oktober, Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, dan rakan sejawatannya dari Syria, Encik Assaad al-Shaibani, menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk mengekalkan hubungan baik dan menyelesaikan pertikaian melalui rundingan.

Jawatankuasa keselamatan bersama itu akan menyiasat keadaan sebenar serangan, termasuk punca kematian orang awam, selain memperkukuh kerjasama risikan dan keselamatan bagi memerangi pengganasan.

Kedua-dua negara turut bersetuju meningkatkan usaha menangani ancaman bersama, termasuk penyeludupan dadah dan senjata merentasi sempadan.

Dalam perbualan telefon dengan Encik Al-Shaibani, Encik Safadi menjelaskan bahawa serangan udara Jordan menyasarkan lokasi ISIS berdasarkan maklumat risikan di lapangan.

Menurut beliau, operasi itu bertujuan menghapuskan ancaman yang dikenal pasti, termasuk rancangan serangan yang boleh membahayakan keselamatan Jordan.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal dan dukacita yang mendalam atas kematian orang awam Syria dalam operasi tersebut.

Encik Safadi turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa Jordan menghormati sepenuhnya kedaulatan serta keutuhan wilayah Syria.

Jurucakap kerajaan Jordan, Encik Mohammad al-Momani, berkata penilaian awal menunjukkan lebih 20 anggota ISIS terbunuh dalam serangan berkenaan.

Beliau berkata sebuah gudang besar yang digunakan kumpulan militan itu untuk menyimpan senjata turut dimusnahkan.

Menurut beliau, tentera Jordan telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kematian orang awam, namun pihak berkuasa kini bekerjasama dengan Syria untuk menyiasat kejadian tersebut.

“Jordan amat menghormati negara Syria dan rakyatnya yang bersaudara dengan kami,” katanya ketika menjelaskan pendirian Amman.

Pemerintah Syria sebelum ini mengecam serangan udara Jordan sebagai pencabulan yang tidak boleh diterima terhadap kedaulatan dan ruang udaranya.

Damsyik turut menafikan dakwaan Jordan bahawa operasi ketenteraan tersebut telah diselaraskan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa Syria.

Menurut agensi Pertahanan Awam Syria, tujuh orang awam terbunuh dalam serangan yang menyasarkan beberapa kawasan di wilayah Daraa dan Sweida, selatan negara itu.

Lima daripada mangsa merupakan anggota sebuah keluarga yang terbunuh di Kampung Al-Taf, wilayah Daraa, berhampiran sempadan Jordan.

Mangsa termasuk seorang wanita dan tiga kanak-kanak, manakala dua lagi orang awam dilaporkan terbunuh di kawasan lain di selatan Syria.

Kementerian Luar Syria menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap prinsip hubungan baik antara negara berjiran.

Ketegangan tersebut turut menyebabkan Syria menutup sementara lintasan sempadan Nassib, yang dikenali sebagai Jaber di sebelah Jordan.

Penutupan laluan utama itu menjejaskan pergerakan penumpang dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Menteri Kecemasan dan Pengurusan Bencana Syria, Encik Raed al-Saleh, berkata kedua-dua pihak sedang berusaha menyelesaikan pertikaian melalui saluran diplomatik dan undang-undang bagi memastikan keadilan kepada keluarga mangsa.

Pertikaian itu berpunca daripada serangan bersenjata di Gereja Greek Ortodoks St George di Kampung Hamoud, wilayah Karak, pada 23 Oktober lalu.

Dalam kejadian tersebut, beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menghadiri upacara pengebumian, menyebabkan sembilan terbunuh dan sekurang-kurangnya 25 cedera.

Beberapa laporan lain menyatakan jumlah mangsa cedera mencecah sekurang-kurangnya 40 orang.

Pasukan keselamatan Jordan kemudian menahan tiga suspek pada 26 Oktober selepas berlaku kejadian berbalas tembakan di Karak.

Ketiga-tiga suspek, yang dikenal pasti sebagai dua beradik lelaki dan abang ipar mereka, mengalami kecederaan ketika operasi penahanan.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan gereja tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Jordan mengaitkan individu yang dipercayai terlibat dengan rangkaian militan yang beroperasi merentasi sempadan Syria.

Walaupun kedua-dua negara masih berbeza pendirian mengenai serangan udara itu, Encik Safadi menegaskan bahawa keselamatan dan kestabilan Syria merupakan sebahagian penting daripada keselamatan negara Jordan.

Kedua-dua menteri luar turut menekankan keperluan melindungi orang awam dan mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

Jawatankuasa keselamatan bersama dijangka mengadakan mesyuarat dalam beberapa hari akan datang bagi meneliti operasi terhadap ISIS dan memperkukuh penyelarasan keselamatan di kawasan sempadan.

Persetujuan tersebut dilihat sebagai langkah diplomatik penting untuk meredakan ketegangan, ketika kedua-dua negara berusaha mengekalkan kerjasama keselamatan tanpa menjejaskan hubungan dua hala. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti