Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Julie Sudiro ajar ngaji

Jun 05, 2022 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran sinonim dengan irama jaz dan keroncong sejak era 1960-an, Datin Paduka Julie Sudiro, 77 tahun, kini mengisi masa menjadi guru mengaji biarpun dalam kudrat terbatas.



Lebih menyentuh hati, Julie atau nama sebenar, Raden Juariah Raden Sudiro berkunjung dari rumah ke rumah anak murid yang mahu mendalami ilmu Al-Quran dengan bertongkat, lapor Berita Harian Malaysia (BHM), semalam.



Isteri kepada pemuzik jaz terkenal Allahyarham Tony Suliano ini memberitahu, beliau mahu terus menghidupkan amalan arwah bapanya selagi berkemampuan.



"Arwah bapa, Radin Sudiro orang bangsawan. Tetapi setiap malam Jumaat, bapa saya selalu baca surah Yasin. Jadi, didikan itu bermula sejak muda, sayang untuk ditinggalkan.



"Biarpun bapa orang filem, kami tidak lupa dihantar mengaji ke masjid. Ilmu agama memang tertanam sejak kecil lagi," katanya.



Justeru, ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini tidak mempunyai sebab untuk berdalih kerana masih diberi kudrat oleh Allah.



"Sebelum ini, anak murid ramai datang ke rumah anak saya di Subang Jaya, Selangor untuk belajar mengaji. Dalam tempoh Covid-19, mereka belajar dalam talian.



"Tetapi, sekarang ada anak murid yang tidak boleh bergerak, jadi saya ke rumah mereka. Ada kawan yang sakit akibat angin ahmar, namun kuat semangat untuk belajar mengaji.



"Mungkin dengan motivasi saya, dia mahu belajar walaupun kadang-kadang dia tak nampak.



"Jadi, saya kasihan menyuruh dia datang ke rumah. Saya dihantar anak ke rumah anak murid, selepas sejam setengah mengaji, saya pulanglah," katanya yang tidak menetapkan bayaran atas khidmatnya itu.



Datin Paduka Julie ditemui pada majlis Hari Raya Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di ibu negara, baru-baru ini.



Turut hadir rakannya seperti Datuk Freddie Fernandez, Datuk Yusni Hamid, Radhi Khalid dan Rozita Rohaizad.



Mengenai kesihatan dirinya, penyanyi berdarah Jawa ini tidak putus bersyukur dengan kudrat yang ada.



"Alhamdulillah, selalu sebut alhamdulillah, insya-Allah saya akan terus bertahan. Tapi kalau nak kata gagah tidaklah, bagaimanapun saya bersyukur.



"Saya masih boleh keluar berjumpa kawan termasuk menyanyi. Itu semua Allah yang beri semangat kepada saya," kata nenek kepada lapan cucu itu.



Ditanya mengenai rindu terhadap bidang nyanyian, beliau mengakui perasaan itu ada. Namun, akuinya pada usia sekarang, dia lebih selesa menyanyi untuk kawan.



"Apatah lagi, mengaji menggunakan suara. Jadi, tidaklah rindu sangat. Saya menyanyi untuk kawan sahaja. Untuk mengejar glamor, tidaklah, itu jauh daripada lubuk hati saya.



"Bagi saya, nyanyian itu asalnya menghiburkan. Arwah bapa nasihatkan sentiasa beringat siapa menjadikan saya dan jangan fikir saya yang terbaik.



"Jadi, nasihat ibu bapa itu yang membuatkan saya tidak berfikir bahawa saya bagus dan seumpamanya. Ketika menyanyi dahulu pun, saya tidak pernah 'demand'," katanya.



Pernah memiliki puluhan lagu dan album sehingga pernah diundang menyanyi ke Australia, Julie menasihatkan penyanyi sekarang tidak melupakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.



"Walaupun menyanyi, sentiasa beringat awak bukan yang terbaik sebab ada yang lebih baik. Itu pesan bapa saya selalu berikan.



"Satu lagi, jangan tinggalkan solat dan jangan lupa Allah," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >