Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah katil rawat pesakit Covid-19 di M'sia 'mungkin tak cukup'

Jun 1, 2021 | 5:30 AM
SELAMAT DIKEBUMIKAN: Sekumpulan sukarelawan dengan berpakaian kalis kuman mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 di tanah perkuburan di Kuala Selangor, pada 28 Mei lalu. - Foto EPA-EFE
SELAMAT DIKEBUMIKAN: Sekumpulan sukarelawan dengan berpakaian kalis kuman mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 di tanah perkuburan di Kuala Selangor, pada 28 Mei lalu. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, memberi amaran jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 semakin berkurangan dan "berkemungkinan tidak mencukupi".

Apabila ini berlaku, katanya, pihak hospital perlu mengutamakan keperluan katil bagi pesakit yang lebih mendesak.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga telah memberi amaran kemungkinan berlaku situasi di mana para doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah.

"Ini adalah situasi sukar yang mendepani kita semua, dan KKM ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama berganding bahu bagi hadapinya sekarang," ujarnya.

Malaysia awal daripada ini dikejutkan dengan berita pemergian Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82 tahun, yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak, akibat Covid-19.

Malaysia sejauh ini mencatatkan 560,000 kes jangkitan Covid-19 dengan 2,650 dilaporkan maut, di mana Sabtu lalu menyaksikan sejumlah 9,020 kes dilaporkan dalam masa 24 jam, sebelum merosot kepada 6,999 kes kelmarin.

Sehingga Jumaat lalu, kira-kira 1.5 juta warga Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Kerajaan berusaha mencapai tahap kelalian umum (herd immunity) di kalangan 32 juta rakyatnya sebelum akhir tahun ini.

Dr Noor Hisham awal pagi semalam merayu kepada orang ramai agar mematuhi arahan kerajaan.

"Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda. Bantulah kami untuk bantu anda dan keluarga," tulisnya di Facebook awal pagi semalam.

Sebelum itu, beliau di Facebooknya telah menekankan penularan Covid-19 semakin meruncing dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) di Malaysia adalah 1.16.

"Jumlah kes dilaporkan saban hari menunjukkan trend kenaikan yang mendadak secara exponential (melonjak). Kenaikan 1,000 sehingga 2,000 kes sehari adalah tidak mustahil. Kita telah melihat jumlah kes kematian tertinggi harian iaitu sebanyak 98 kes pada 29 Mei lalu akibat Covid- 19. Situasi ini juga mungkin akan berterusan dan tidak mustahil boleh terus meningkat lagi," ujarnya.

Menerusi hantaran sebelum ini, Dr Noor Hisham mahu semua pihak untuk sama-sama berperanan dalam mendepani krisis Covid-19.

Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak mutakhir ini memberi tekanan hebat terhadap sistem perkhidmatan kesihatan negara apabila kadar penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) pesakit Covid-19 di Lembah Klang pada pertengahan bulan lalu mencecah 89 peratus.

Kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit Covid-19 di seluruh negara sehingga lewat bulan lalu mencecah 75 peratus.

Keperluan katil adalah mendedak dengan Johor, Terengganu, Kelantan, Sarawak serta Lembah Klang telah mencapai tahap maksimum penggunaan katil, dan "telah membuat penyesuaian bagi katil di wad biasa untuk rawatan Covid-19".

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg