Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah kes jangkitan Covid-19 Indonesia tertinggi di Asia, kebanyakan di Jawa

Jul 15, 2021 | 5:30 AM
RATAPI PEMERGIAN: Seorang wanita menangisi pemergian mangsa jangkitan Covid-19, Allahyarham Abdul Rochman, 36 tahun, selepas jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan pemerintah untuk mangsa koronavirus pada 12 Julai lalu, sedang kes terus meningkat di Jakarta. - Foto REUTERS
RATAPI PEMERGIAN: Seorang wanita menangisi pemergian mangsa jangkitan Covid-19, Allahyarham Abdul Rochman, 36 tahun, selepas jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan pemerintah untuk mangsa koronavirus pada 12 Julai lalu, sedang kes terus meningkat di Jakarta. - Foto REUTERS -

JAKARTA: Indonesia kini dikhuatiri menjadi pusat wabak baru Asia selepas India setelah negara itu merekodkan jumlah jangkitan harian melebihi 40,000 untuk dua hari berturut-turut.

Kebanyakan pesakit dikatakan berada di Pulau Jawa dan menjadi mangsa jangkitan koronavirus jenis Delta yang diketahui mudah menular.

Negara dengan jumlah penganut Islam terbesar di dunia itu mencatatkan 47,899 kes baru kelmarin, sekali gus menjadikan ia rekod tertinggi berbanding 40,427 kes pada hari sebelumnya, menurut laman rasmi Kementerian Kesihatan Indonesia (KKI)

India mencatatkan 38,792 kes jangkitan Covid-19 dengan 624 kematian dalam masa 24 jam sehingga 8 pagi semalam.

Sejauh ini, sejumlah 3,0104,720 membentuk 97.28 peratus telah dilaporkan sembuh manakala 429,946 (1.39 peratus) merupakan kes aktif manakala 411,408 (1.33 peratus) telah terkorban.

Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, ditukil dalam laporan akhbar The Jakarta Post semalam sebagai berkata, kadar penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di 12 wilayah melebihi 70 peratus yang mana separuh daripadanya di Jawa dan selebihnya di kepulauan Indonesia yang lain.

Di Jakarta dan Yogyakarta, kadar penggunaan katil adalah diantara 86 hingga 90 peratus.

Menurut Encik Sadikin, pemerintah bersiap sedia untuk senario di mana kes mungkin meningkat lebih 30 peratus pada tempoh dua minggu akan datang dan jangkitan menular cepat ke wilayah lain.

Antara langkah diambil adalah mengubah lebih banyak hospital biasa kepada kemudahan rawatan Covid-19.

"Seluruh negara masih ada (katil) tetapi kes di beberapa wilayah sudah tinggi kerana wabak tidak menentu berpunca dari varian Delta.

"(Kes Delta) masih tertumpu di Jawa, tetapi kita dapati ia turut merebak ke luar Jawa seperti di Lampung, Kalimantan Timur, Sumatera Selatan, Papua Barat, Kepulauan Riau dan Bengkulu sekarang di bawah radar kita," katanya kepada Ahli Parlimen.

Selain isu kekurangan katil, Encik Sadikin berkata Indonesia turut berdepan masalah kekangan petugas kesihatan, oksigen dan ubat Covid-19.

Sekurang-kurang 451 pesakit Covid-19 di Indonesia dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani pengasingan kendiri, menurut sebuah gabungan awam yang menyediakan kemudahan masyarakat semalam.

Perintis gabungan dikenali sebagai Lapor Covid-19 itu, Encik Ahmad Arif, berkata kematian terbabit direkodkan di 12 wilayah, termasuk 160 kes disahkan di Jawa Barat.

Agensi berita Anadolu kelmarin melaporkan, kumpulan terbabit mengumpulkan data daripada aduan penduduk, perbualan dalam media sosial dan agensi berita tempatan.

Bercakap pada sidang media, beliau mendakwa jumlah pesakit meninggal dunia di luar kemudahan kesihatan adalah jauh lebih tinggi daripada data yang direkodkan, malah "angka itu cuma sebahagian kecil berikutan bukan semuanya dilaporkan."

Dalam pada itu, Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Cik Kurniasih Mufidayati turut menyuarakan keprihatinan serupa - pemerintah harus memberi perhatian khusus terhadap kes kematian pesakit Covid-19 yang melakukan pengasingan mandiri.

Ini kerana, jumlah kematian sedemikian semakin tinggi.

Antara punca jumlah kematian meningkat, kata beliau, adalah disebabkan kekurangan bekalan oksigen dan ubat-ubatan, kepadatan hospital dan masalah mendapatkan khidmat ambulans bagi pesakit Covid-19.

"Boleh ditinjau di lapangan betapa sulitnya pesakit yang mengasingkan diri secara sendiri mendapatkan tabung oksigen dan ubat-ubatan terutama untuk golongan antivirus dan antibiotik. Belum lagi masalah hospital yang sudah penuh, termasuk sulitnya mendapatkan kenderaan ambulans bagi pesakit yang darurat Covid-19," kata Cik Mufida dalam keterangannya yang ditukil Kompas.com semalam. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg