SHAH ALAM: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri terus mencatatkan penurunan iaitu kepada 8,528 orang setakat 7 pagi semalam yang melibatkan 2,552 keluarga berbanding 8,847 orang pada 8 malam kelmarin.

Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), penurunan itu membabitkan kesemua negeri terlibat kecuali Sabah yang merekodkan peningkatan mangsa bencana itu daripada 1,431 kepada 1,476 orang.

Peningkatan yang berlaku di Sabah membabitkan 332 keluarga yang berada di empat daerah di negeri berkenaan ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Meskipun demikian, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersedia menggerakkan tenaga tambahan termasuk 33 Pasukan Gerak Cepat (Red Team) khususnya ke negeri Pantai Timur jika banjir luar jangka kembali melanda.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata ia juga termasuk pergerakan keanggotaan dan aset dari negeri lain yang akan diatur gerak bagi menampung keperluan dengan mengambil kira negeri yang teruk terjejas seperti Terengganu dan Kelantan baru-baru ini. Beliau berkata ia bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mereka yang terjejas akibat bencana itu berjalan lancar.

"Setakat ini, alhamdulillah, keadaan banjir bertambah stabil dan kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan agensi penyelamat lain melihat kepada jangkaan hujan atau cuaca. Keadaan itu bagi membolehkan kita merancang pergerakan pasukan ke tempat yang kita jangka akan bertambah buruk kejadian banjirnya supaya kita dapat bersedia awal. Kita tidak mahu berada di satu-satu lokasi selepas menerima panggilan tetapi kita akan bersedia di lokasi-lokasi yang dijangka berlaku banjir.

"Ia bagi memastikan isu-isu berbangkit seperti kelewatan dan sebagainya yang disebabkan terputus jalan dapat diatasi dengan segera," katanya.

Datuk Nor Hisham berkata pihaknya akan menggunakan helikopter ke kawasan yang terputus hubungan akibat bencana berkenaan.

Katanya, unit udara juga bersedia sedia diaktifkan sekiranya bantuan aset darat dan air menghadapi masalah ke kawasan yang terjejas akibat banjir.

"Kita juga akan terus memperkukuhkan kerjasama bersama agensi penyelamat yang lain bersama badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan komuniti bagi melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa," katanya. - BHM, agensi berita.