Topic followed successfully
Go to BHkuJumlah pelancong tidak ramai selang seminggu Jepun buka sempadan
Jumlah pelancong tidak ramai selang seminggu Jepun buka sempadan
Jumlah pelancong tidak ramai selang seminggu Jepun buka sempadan
TOKYO: Selepas lebih dua tahun, salah satu destinasi pelancongan popular di dunia - Jepun - dibuka semula kepada pelancong.
Namun hanya sedikit, jika ada, yang berkunjung ke negara itu.
Beberapa laporan, termasuk Bloomberg, melaporkan tiada pengembara yang mengikuti pemandu pelancong yang membawa bendera dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, pada 10 Jun, apabila Jepun secara rasmi membuka semula sempadannya dan menggandakan had masuk harian kepada 20,000 pelawat.
Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) berkata ia tidak mempunyai sebarang data mengenai kumpulan pelancongan dalam tempoh pembukaan seminggu lalu dan beberapa pengendali pelancongan belum memulakan lawatan.
Pelancong yang tiba di Jepun berisiko dihantar pulang jika gagal mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka, sanitasi tangan dan membeli insurans kesihatan persendirian.
"Malah sehingga 10 Jun, kami tidak pasti sama ada akan ada perubahan pada saat-saat akhir," kata Encik Andy Eastham, jurucakap Wendy Wu Tours - pengendali terbesar pelancong dari Britain, Australia dan New Zealand ke Jepun.
"Dari perspektif komersial, kami tidak boleh berbuat apa-apa sehingga kami tahu dengan pasti bahawa Jepun telah dibuka semula," ujarnya.
Sebelum wabak, Jepun berada di kemuncak ledakan pelancongan dengan jumlah pelawat mencapai rekod pada 2019.
Kini, negara itu merupakan antara ekonomi kaya yang masih kekal dengan kawalan sempadan yang ketat, manakala syarikat penerbangan, hotel dan peruncit semuanya bersemangat untuk memulakan semula perniagaan.
Garis panduan yang diumumkan agensi pelancongan kerajaan Jepun awal minggu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula kemasukan pelancong selepas sempadan negara itu ditutup sejak awal 2020.
Negara itu mula membenarkan kemasukan pelancong lawatan berpakej sejak 10 Jun lalu.
Walaupun jumlah kehadiran pelancong dijangka melonjak, ia masih sedikit berbanding sebelum pandemik.
Meskipun beberapa perniagaan dan ahli Parlimen menggesa negara itu membatalkan had kemasukan harian, pentadbiran Perdana Menteri Jepun, Encik Fumio Kishida, bertegas dengan pendirian melaksanakan 'peraturan ketat terhadap Covid-19', menjelang pilihan raya Dewan Negara bulan depan.
Berdasarkan garis panduan yang diuji bulan lalu menerusi kumpulan pelawat yang terhad, pelancong akan diminta duduk di kerusi yang dikhaskan di dalam restoran.
Ejen pelancongan pula perlu merancang lawatan yang tidak membabitkan orang ramai, merekod pergerakan dan menemani individu positif Covid-19 serta kontak rapat ke fasiliti pengasingan.
Jepun hanya membenarkan kemasukan pelancong dari negara dan wilayah mencatatkan jumlah jangkitan yang rendah, terbahagi kepada tiga kategori iaitu merah, kuning dan biru, bergantung pada penilaian risiko virus masing-masing, kata Kementerian Luar Jepun sebelum ini.
Pelawat yang tiba dari 98 negara atau wilayah di dalam senarai biru tidak perlu dikuarantin jika melepasi saringan Covid-19 sebelum berlepas, manakala senarai kuning perlu menunjukkan bukti vaksinasi untuk tidak dikuarantin.
Hanya pelancong dalam pakej pelancongan akan dibenarkan masuk bagi fasa pertama pembukaan semula bermula 10 Jun.
Malah, agensi pelancongan yang mengiringi mereka perlu memastikan mereka sentiasa memakai pelitup muka.
Penggunaan pelitup muka juga diwajibkan di kawasan terbuka terutama apabila orang ramai berhimpun dalam jarak dekat.
Sebelum ini, Jepun melaksanakan antara sekatan paling ketat di pintu sempadan berbanding negara lain dengan tidak membenarkan kemasukan warga asing.
Namun, kelonggaran mula diberikan dengan Perdana Menteri, Fumio Kishida, berikrar akan merancakkan kembali ekonomi rakyatnya melalui pembukaan pintu sempadan. - Agensi berita.
