Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah penduduk China mula susut tahun lalu: Pakar

Jan 12, 2023 | 5:30 AM
839b8f6e-f809-46d7-b2fa-d55e543f17d6
-

BEIJING: Penduduk China mungkin mula menyusut pada 2022 buat kali pertama dalam beberapa dekad, kata pakar, satu hal penting yang akan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara itu.

Data rasmi pemerintah bagi jumlah kelahiran pada 2022 - dijangka dikeluarkan minggu depan - mungkin menunjukkan rekod rendah sebanyak 10 juta kelahiran, menurut ahli demografi bebas, Encik He Yafu.

Ia kurang daripada 10.6 juta bayi yang dilahirkan pada 2021.

Ini menjadi tahun keenam berturut-turut Beijing mencatat penurunan dan terendah sejak penubuhan Republik Rakyat China pada 1949.

Encik He menambah, China berkemungkinan mencatat lebih banyak kematian pada 2022 berbanding 10.1 juta orang yang meninggal dunia pada 2021, sebahagiannya disebabkan penularan jangkitan Covid-19.

Penurunan jumlah penduduk yang dijangka datang lebih cepat daripada yang dijangkakan sebelum ini, akan mengekang pertumbuhan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Tenaga buruh sudah semakin berkurangan, permintaan jangka panjang untuk rumah akan terus menurun, dan pemerintah juga mungkin bergelut untuk membayar sistem pencen negara yang kekurangan dana.

Hasilnya ialah, ekonomi China mungkin bergelut untuk mengatasi saiz Amerika Syarikat, dan ia boleh kehilangan tarafnya sebagai negara paling ramai penduduk di dunia kepada India tahun ini.

Jumlah kelahiran merosot di banyak negara semasa pandemik koronavirus kerana orang ramai takut pergi ke hospital, kekurangan sokongan keluarga kerana perintah sekatan dan kos penjagaan anak yang tingi.

China turut menghadapi masalah tambahan, yang didorong sebahagiannya oleh penguatkuasaan "dasar satu anak" selama beberapa dekad, hingga memesongkan nisbah jantina, memandangkan keutamaan tradisional dalam kalangan ibu bapa China terhadap anak lelaki.

Ini menyebabkan penurunan bilangan wanita dalam usia mengandung yang sukar dipulihkan - walaupun selepas pemerintah menamatkan dasar itu dan membenarkan keluarga mempunyai lebih ramai anak.

"Langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan kadar kelahiran adalah terlalu sedikit dan terlambat, dan benar-benar terkesan dengan dasar sifar Covid terhadap kadar kelahiran," kata Encik Christopher Beddor, timbalan pengarah penyelidikan China di Gavekal Dragonomics.

"Isu utamanya ialah, sesuatu dasar itu tidak mampu menangani semua perkara dalam keadaan yang dihadapi hari ini, kerana penurunan kadar kelahiran didorong oleh faktor struktural yang mendalam," kata Encik Beddor, sambil menambah bahawa cabaran ekonomi yang ditimbulkan oleh penduduk China yang semakin tua dan semakin berkurangan telah dibincangkan selama bertahun-tahun.

"Kepimpinan nampaknya telah terlambat menyedari bahawa isu-isu itu sangat nyata dan tiba dengan cepat."

Pada 2019, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meramalkan bahawa penduduk China akan memuncak pada 2031 dan kemudian menurun.

Menjelang 2022, bagaimanapun, PBB telah menyemak anggaran itu untuk melihat kemuncak penduduk China pada permulaan 2022.

Ia kini menjangkakan China kehilangan 110 juta orang menjelang 2050 dan jatuh kepada kira-kira separuh saiz yang ada sekarang menjelang akhir abad ini.

Kejatuhan dalam penduduk bagi golongan usia bekerja akan menjadi lebih besar: Kumpulan itu akan merosot kepada kira-kira 650 juta orang pada 2050, penurunan kira-kira 260 juta dari 2020, menurut Bloomberg Economics. - Agensi Berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg