
PUTRAJAYA: Lebih 700 gerai dan restoran di seluruh Malaysia sudah menawarkan 'Menu Rahmah' dengan jangkaan jumlah peniaga bakal menyertai inisiatif berkenaan meningkat dua kali ganda pada Mac.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata peningkatan penyertaan itu termasuk melalui pembabitan francais restoran makanan segera.
"Pada bulan hadapan (Mac), jumlah penawaran (premis sertai Menu Rahmah) bakal meningkat dua kali ganda termasuk penglibatan francais restoran makanan segera bagi terus membantu mengurangkan beban rakyat," katanya.
Datuk Salahuddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan 'Menu Rahmah' di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah selatan, pada Isnin.
Menu Rahmah adalah inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang digerakkan oleh peniaga secara sukarela, dengan menyediakan hidangan pada harga RM5 ($1.51) dan ke bawah.
Datuk Salahuddin berkata, setakat ini tiada sebarang aduan rasmi diterima yang mengatakan makanan ditawarkan Menu Rahmah tidak berkhasiat, lapor agensi Bernama.
Dari awal lagi pemain industri terbabit dalam sesi libat urus berhubung penyediaan menu berkenaan dan mereka tidak dipaksa, malah sukarela untuk membantu rakyat bagi menyediakan hidangan yang berkualiti," katanya menambah, maklum balas menyatakan jumlah pelanggan juga semakin bertambah.
Datuk Salahuddin berkata langkah seterusnya adalah untuk bertemu dengan pengusaha industri sektor pembuatan dalam usaha untuk meringankan beban pemilik gerai makanan yang menawarkan Menu Rahmah.
"Saya akan berjumpa pihak sektor pembuatan dan mungkin bincang sama ada mereka boleh beri harga 'Rahmah' kepada pemilik gerai. Itu langkah seterusnya yang akan dijalankan," katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta, berkata sebanyak 215 gerai di kawasan R&R di semua lebuh raya telah menawarkan 'Menu Rahmah' setakat ini, dan lebih 100 gerai lagi di kawasan R&R juga disasarkan menyertai inisiatif berkenaan pada Mac.
Menurutnya, fasa pertama inisiatif itu diperkenalkan untuk pengguna Lebuhraya PLUS sejak 23 Februari lalu di beberapa R&R serta hentian sebelah di wilayah tengah lebuh raya berkenaan.
Fasa kedua dan ketiga yang akan mula dilaksanakan bulan depan melibatkan Lebuhraya PLUS wilayah selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg