JAKARTA: Jawa Barat kini menjadi wilayah kedua selepas Jakarta yang mencatatkan lebih 1,000 kes koronavirus dalam sehari, diikuti oleh Jawa Tengah.
Malah, perangkaan terbaharu petang semalam menunjukkan Jawa Barat menghadapi 1,434 kes baharu menjadikan keseluruhan kes mencecah 69,500 kes.
Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta pula mencatatkan 1,221 kes dan secara keseluruhannya menghadapi 156,343 kes Co-vid-19 yang disahkan.
Jawa Timur semalam mencatatkan 755 kes baharu koronavirus, Sulawesi Selatan 447, Jawa Tengah 421, dan Kalimantan Tengah 280.
Secara keseluruhan, jumlah pesakit koronavirus di Indonesia kini mencecah 636,154 sedang kematian akibat Covid-19 pula adalah 19,248 orang.
Demi menjaga kesejahteraan rakyatnya dan melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19, Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi), semalam mengumumkan vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik itu.
"Saya sampaikan bahawa vaksin Covid-19 untuk masyarakat adalah gratis (percuma).
"Sekali lagi gratis, tidak dikenakan biaya sama sekali," kata Encik Jokowi menerusi siaran di laman YouTube rasmi Sekretariat Presiden semalam.
Malah, Encik Jokowi turut mengarahkan Menteri Kewangan Indonesia, Cik Sri Mulyani, dan pemerintah wilayah supaya mengutamakan peruntukan pembiayaan vaksin itu dalam Belanjawan 2021.
Pada 6 Disember lalu, Indonesia menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China manakala 1.8 juta dos lagi vaksin itu akan diterima pada awal Januari 2021.
Laporan media-media tempatan sebelum ini melaporkan Indonesia menerusi Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM), badan di bawah Kementerian Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, Sinovac Biotech, bagi melakukan penyelidikan vaksin Covid-19.
Menerusi kerjasama itu, Indonesia juga membangunkan vaksin 'Merah Putih' dan sekiranya berjaya, dijangka 290 juta dos vaksin akan dikeluarkan menjelang pertengahan tahun depan.
Bagi membendung penularan koronavirus di negara itu, pemerintah Indonesia memutuskan melarang orang ramai berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2021 di tempat-tempat umum.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan secara maya bagi mengendalikan Covid-19 di Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan Bali, dan dipengerusikan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Encik Luhut Binsar Pandjaitan.
Encik Luhut telah mengarahkan pelaksanaan sekatan lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19 dari 18 Disember hingga 8 Januari tahun hadapan, menurut Vietnam News Agency (VNA).
Peningkatan besar kes yang direkodkan selepas musim cuti panjang yang berakhir Oktober lalu, memerlukan pemerintah Indonesia memperketat sekatan.
Di Jakarta 75 peratus daripada pekerja di ibu negara itu diarahkan bekerja dari rumah.
Dasar mengehadkan waktu operasi sehingga 7 malam dan jumlah orang yang boleh berkumpul di restoran, pasar raya dan tempat hiburan akan diterus dihadkan, tegas menteri Indonesia itu.
Katanya, upacara keagamaan, ulang tahun dan sambutan yang boleh menarik kehadiran orang ramai juga perlu disekat atau dilarang.
Encik Luhut juga berkata, pemilik gedung beli-belah harus memberi keringanan dalam soal pembayaran sewa untuk para penyewa kedai bagi meringankan beban mereka sewaktu perintah sekatan kedua ini.
Tambah beliau, pasukan polis dan tentera akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap protokol kesihatan dengan Presiden Jokowi akan menghimpunkan anggota tentera bagi menunjukkan iltizam pemerintah dalam melaksanakan penguatkuasaan itu, kata Encik Luhut. - Agensi
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg