YANGON: Pemerintah tentera Myanmar menguatkuasakan undang-undang tentera di 37 perbandaran di merata negara itu, setelah pertempuran dengan kumpulan-kumpulan penentangnya memuncak dalam beberapa bulan ini.
Pemerintah itu membayangkan lebih banyak lagi tindakan ganas akan dilancarkan di kawasan-kawasan yang menjadi kubu kumpulan pejuang demokrasi.
Pemimpin tentera Myanmar, Encik Min Aung Hlaing, mengarahkan lima komander supaya menguasai sepenuhnya perbandaran tersebut yang meliputi lapan wilayah, termasuk ibu kota daerah Loikaw dan Hakha.
Langkah itu membolehkan pihak berkuasa tentera menguasai kestabilan dengan berkesan, kata Majlis Pentadbiran Negara, dalam satu kenyataannya.
Keputusan itu juga meletakkan jutaan penduduk di lebih 11 peratus daripada 330 perbandaran di bawah peraturan ketat yang dikuat kuasakan oleh komander tentera itu.
Para penyokong gerakan pro demokrasi di daerah-daerah Sagaing, Magway, Bago dan Tanintharyi, serta wilayah kaum seperti Chin, Kayah, Kayin dan Mon, dijangka menghadapi perintah berkurung yang akan dikuatkuasakan di banyak lagi kawasan.
Mahkamah tentera akan mengadili kebanyakan kes jenayah di perbandaran tersebut dan keputusan mahkamah itu tidak boleh dirayu, menurut kenyataan itu lagi.
Undang-undang tentera itu adalah tambahan kepada perintah darurat yang telah dilanjutkan selama enam bulan, setelah pemerintah awam pimpinan Cik Aung San Suu Kyi digulingkan pada 2021 dalam satu rampasan kuasa tentera, kerana didakwa melakukan penipuan dalam pilihan raya.
Dakwaan penipuan itu disangkal oleh para pemerhati antarabangsa.
Jeneral Min Aung Hlaing berkata pada Rabu lalu, bahawa 40 peratus daripada perbandaran di negara itu menghadapi keadaan tidak stabil, dan ini memberi isyarat bahawa tindakan keselamatan perlu diambil bagi memulihkan penguatkuasaan undang-undang.
Amerika Syarikat membantah keras keputusan pihak tentera itu, yang melanjutkan perintah darurat dan melanggar batas perlembagaan.
Lebih 2,900 orang awam terbunuh dan sekurang-kurangnya 17,600 yang lain telah ditangkap oleh junta itu, bagi mengekang pergerakan demokrasi, sejak rampasan kuasa berlaku.
Myanmar telah dikenakan banyak sekatan, termasuk dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
Untuk meredakan desakan masyarakat antarabangsa, Jeneral Min Aung Hlaing berkata satu pilihan raya akan diadakan pada Ogos ini.
Junta itu juga telah mengeluarkan undang-undang yang lebih ketat dan rumit, bagi menyulitkan parti-parti politik menyertai pilihan raya itu.
Undang-undang itu akan menghalang Cik Suu Kyi dan parti pimpinannya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), yang disifatkan oleh junta itu sebagai pertubuhan pengganas. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg