Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Junta Myanmar lanjutkan darurat, disyaki bagi tangguh pilihan raya

Feb 3, 2023 | 5:30 AM
TERUSKAN BANTAHAN: Penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa tentera di Myanmar mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di luar kedutaan negara itu di Bangkok kelmarin, sempena ulang tahun kedua rampasan kuasa tersebut. - Foto REUTERS
TERUSKAN BANTAHAN: Penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa tentera di Myanmar mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di luar kedutaan negara itu di Bangkok kelmarin, sempena ulang tahun kedua rampasan kuasa tersebut. - Foto REUTERS -

BANGKOK: Junta Myanmar kelmarin melanjutkan tempoh keadaan darurat negara itu selama enam bulan, satu langkah yang mungkin bertujuan menangguh pilihan raya yang dijadual Ogos ini.

Stesen televisyen pemerintah menyiarkan makluman tersebut, yang disampaikan oleh ketua junta, Encik Min Aung Hlaing, yang berkata rejim itu perlu memastikan pilihan raya dapat diadakan di seluruh pelusuk negara.

Bagaimanapun, beliau tidak menyediakan garis masa bagi pilihan raya, yang tidak boleh diadakan semasa keadaan darurat.

Tentera, yang menggulingkan pemerintah awam pada Februari 2021, kini menghadapi tentangan bersenjata bagi membantah rampasan kuasa tentera itu.

Junta itu merancang mengadakan pilihan raya baru bagi menggantikan pilihan raya yang diadakan pada 2020, yang didakwanya berlaku banyak penipuan.

Penganalisis menyanggah bahawa langkah itu hanya akan mencetuskan lebih banyak keganasan yang telah mencengkam negara itu sejak dua tahun lalu.

Kelmarin, Majlis Keselamatan Pertahanan Kebangsaan Myanmar, yang dikuasai sepenuhnya oleh tentera, membincangkan tentang keadaan "luar biasa" di negara itu, menurut media pemerintah itu.

Junta itu juga menuduh kumpulan antitentera melakukan pengeboman di tempat awam dan membunuh orang awam yang tidak bersalah serta menakut-nakutkan orang ramai.

Pada hari itu juga, suruhanjaya pilihan raya yang dikuasai junta meluluskan peraturan pendaftaran parti politik, yang menjadikan lebih sulit bagi parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) mencabar parti yang disokong tentera.

Satu undang-undang baru pilihan raya melarang parti atau calon yang ada kaitan dengan kumpulan yang disifatkan oleh junta tentera itu sebagai kumpulan pengganas bertanding dalam pilihan raya itu.

Rejim itu telah menyifatkan Pemerintah Perpaduan Kebangsaan (NUG) yang dianggotai oleh anggota parlimen NLD sebagai sebuah pertubuhan pengganas.

Ibu kota Yangon yang biasanya sibuk kini sepi dan kebanyakan tempat perniagaan malap, berikutan kebanyakan orang tidak keluar rumah sebagai isyarat membantah pemerintahan tentera yang memasuki tahun kedua.

Menurut kumpulan pemikir Institut Dasar dan Strategi Myanmar, lebih 7,000 orang awam telah terbunuh sejak rampasan kuasa tentera itu.

Sekitar 1.5 juta orang kehilangan tempat tinggal di seluruh negara, sekalipun Asean sudah menyediakan rangka kerja bagi merundingkan keadaan di negara itu.

Kelmarin, NUG mengatakan bahawa tentangan mereka terhadap rejim tentera itu "sistematik, perjuangan bersepadu demi masa depan negara".

"Pengganas dalam majlis tentera itu cuba mengadakan pilihan raya yang penuh penipuan, demi bertahan untuk berkuasa secara haram," ujar NUG dalam satu kenyataan.

"Sebagai sebuah pemerintah yang sah, NUG akan melakukan apa saja bagi memastikan pengkhianat negara dibawa ke muka pengadilan," ujarnya. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg