Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Junta Myanmar seru pasukan keselamatan usah guna peluru hidup ke atas pembantah

Mar 3, 2021 | 5:30 AM
KEADAAN MERUNCING: Penunjuk perasaan di Myanmar melarikan diri daripada pasukan keselamatan dalam satu tunjuk perasaan terhadap rampasan kuasa tentera di bandar utama Yangon. - Foto EPA-EFE
KEADAAN MERUNCING: Penunjuk perasaan di Myanmar melarikan diri daripada pasukan keselamatan dalam satu tunjuk perasaan terhadap rampasan kuasa tentera di bandar utama Yangon. - Foto EPA-EFE -

YANGON: Tentera Myanmar telah meminta pasukan keselamatan bertanggungjawab terhadap serangan maut ke atas penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa hujung minggu lalu jangan menggunakan peluru hidup, sedang kecaman antarabangsa terhadap junta tentera meningkat.

Arahan itu dibuat dalam satu siaran yang dikendalikan tentera Ahad lalu, selepas Myanmar menyaksikan hari paling membawa maut sejak rampasan kuasa pada 1 Februari, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengatakan sekurang-kurangnya 18 penunjuk perasaan terbunuh dan 30 cedera.

Tentera juga berkata kelmarin bahawa lebih 1,300 penunjuk perasaan ditangkap semasa bantahan yang diadakan di seluruh negara.

Gelombang perhimpunan baru dijangka semalam setelah sebuah mahkamah Myanmar mengenakan dakwaan tambahan ke atas pemimpin negara itu, Cik Aung San Suu Kyi, yang mungkin ditahan bagi tempoh lebih lama.

Angka kematian yang semakin meningkat berkemungkinan mengenakan tekanan ke atas pemerintah di seluruh dunia untuk mengambil tindakan ke atas jeneral tentera Myanmar, yang enggan mengiktiraf kemenangan pilihan raya parti Cik Suu Kyi November lalu.

Gesaan supaya tidak menggunakan peluru hidup datang sedang menteri luar Asean, yang disertai 10 negara termasuk Myanmar, memutuskan mengadakan satu mesyuarat tidak rasmi semalam untuk berbincang mengenai keadaan di Myanmar buat pertama kali sejak rampasan kuasa itu.

Asean mengikuti dasar tidak campur tangan dalam hal dalam negeri anggotanya, dan telah mengelak daripada mengutuk tindakan tentera Myanmar atau merujuk kepada rampasan kuasa itu.

Perdana Menteri Thailand, Encik Prayuth Chan-o-cha dilaporkan merujuk kepada hal itu sebagai satu "isu politik" berkenaan "masalah negara mereka".

Sebaliknya, Indonesia mengeluarkan satu kenyataan Ahad lalu dan menyeru pasukan keselamatan Myanmar supaya "mengelakkan menggunakan kekerasan demi menghindari lebih banyak korban jiwa".

Singapura turut mengulas mengenai keadaan di Myanmar kelmarin.

"Ketidakstabilan di Myanmar menimbulkan bahaya kepada anggota lain di Asia Tenggara, jadi ini bukan situasi yang dilalui Myanmar sahaja," kata Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, dalam satu wawancara bersama sebuah stesen televisyen tempatan, Channel 5.

"(Ini) Walaupun, seperti yang telah saya katakan, tanggungjawab menangani hal ini jatuh ke atas pihak berkuasa di Myanmar." - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg