BANGKOK: Junta tentera Myanmar yang merancang untuk menghadkan pilihan raya umum tahun ini, dijangka akan memicu kepada terjadinya "lebih banyak keganasan", menurut seorang perwakilan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, sambil meminta masyarakat antarabangsa bersatu dalam menentang rancangan itu.
Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak pihak tentera negara itu menggulingkan pemerintah demokrasi pimpinan Cik Aung San Suu Kyi, hampir dua tahun lalu yang didakwanya melakukan penipuan besar dan memenangi pilihan raya pada 2020.
Perintah darurat yang dikuatkuasakan oleh junta tentera itu dijadualkan berakhir Januari ini, selepas perlembagaan negara itu menyebutkan bahawa pihak yang berkuasa harus mengadakan satu pilihan raya yang baru.
Sebarang pilihan raya yang diselenggarakan pihak tentera "akan mencetuskan lebih banyak keganasan, memperpanjang konflik dan lebih sukar untuk mengembalikan kestabilan dan demokrasi di negara itu," kata duta khas PBB, Cik Noeleen Heyzer, dalam satu kenyataannya.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa "membentuk suatu pakatan yang kuat" menentang pilihan raya yang dirancangkan itu.
Amerika Syarikat telah mengatakan sebarang pilihan raya yang diadakan adalah suatu "kepalsuan."
Sekutu rapat junta itu di Moscow berkata mereka menyokong diadakan pilihan raya tersebut.
Seorang jurucakap bagi Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata kelmarin beliau "khuatir dengan rancangan junta tentera itu untuk mengadakan pilihan raya, sedang banyak tangkapan dan kekasaran yang dilakukan terhadap pemimpin politik, aktivis awam dan wartawan."
"Tanpa syarat-syarat yang jelas untuk membolehkan rakyat Myanmar melaksanakan hak mereka berpolitik secara bebas, rancangan mengadakan pilihan raya itu akan memburukkan lagi kestabilan di negara itu," menurut kenyataan itu lagi.
Pihak junta itu memberi tempoh dua bulan bagi parti-parti politik mendaftar semula, di bawah undang-undang baru yang lebih ketat.
Langkah itu memberi petunjuk baru bahawa satu pilihan raya akan diadakan tahun ini.
Para pemerhati berkata rancangan mengadakan pilihan raya itu tidak akan bebas dan adil berdasarkan keadaan yang ada sekarang.
Majlis Keselamatan PBB meluluskan ketetapan pertamanya mengenai situasi di Myanmar pada Disember lalu, menggesa junta tentera itu membebaskan Cik Suu Kyi dan kesemua "yang dipenjarakan sewenang-wenangnya."
Anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China dan Russia, berkecuali dalam pengundian itu dan tidak pula menggunakan kuasa veto mereka.
India, yang juga mempunyai hubungan baik dengan junta tersebut, turut berkecuali dalam pengundian.
Usaha-usaha diplomatik untuk menghuraikan pertumpahan darah di Myanmar itu, yang dipimpin oleh PBB dan Asean, tidak membuahkan sebarang hasil.
Cik Heyzer telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan junta itu di ibu negara Naypyitaw, pada Ogos tahun lalu semasa melakukan lawatan ke negara itu, selepas 10 bulan pelantikannya.
Kunjungan itu telah mendapat bantahan keras dari pihak junta dan tentera.
Cik Heyzer juga tidak dibenarkan bertemu Cik Suu Kyi, dan para pegawai junta kemudian menuduhnya mengeluarkan kenyataan "berat sebelah" berkaitan perkara yang telah dibincangkan. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg