KUALA LUMPUR: Cadangan bagi satu sistem pelepasan imigresen di sempadan darat Malaysia-Singapura bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor akan dibawa ke Kabinet Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa khas yang mengkaji kesesakan lalu lintas di situ telah bersetuju dengan cadangan itu pada dasarnya.
Cadangan itu akan diperhalusi lagi oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang bertindak sebagai sekretariat jawatankuasa khas itu, sebelum ia dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, ujar Datuk Fadillah.
"Ini bermakna mereka yang ingin memasuki Malaysia boleh mendapatkan pelepasan di Singapura oleh kakitangan imigresen Malaysia yang ditempatkan di sana," kata beliau kepada media Malaysia pada Isnin selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.
Beliau selanjutnya berkata jika idea itu diterima Kabinet, sebuah jawatankuasa teknikal akan dibentuk untuk membincangkan kemungkinan pelaksanaannya bersama Singapura.
Ia memerlukan beberapa pindaan terhadap undang-undang serta persetujuan pemerintah Singapura, tambahnya.
"Ini akan memudahkan pergerakan penumpang antara Singapura dengan Malaysia," ujar beliau.
Selain itu, Datuk Fadillah mendedahkan bahawa RM190 juta ($57.11 juta) telah diperuntuk oleh kerajaan persekutuan untuk melaksana inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang, termasuk menambah baik kemudahan dan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
Beliau berkata beberapa inisiatif jangka pendek telah dilaksana, termasuk menambah bilangan lorong motosikal daripada 50 kepada 75.
Mengenai cadangan membentuk sebuah agensi sempadan, perkara itu juga akan dibawa ke Kabinet bagi arahan selanjutnya.
Datuk Fadillah berkata inisiatif untuk mengurangkan kesesakan perlu diambil memandangkan bilangan pengguna di Tambak Johor dijangka meningkat.
Beliau menyatakan antara inisiatif lain ialah projek membabitkan penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baru di Kompleks Sukan Abu Bakar (KSAB).
"Ia adalah penggabungan dewan penumpang bas di KSAB, Gelang Patah, Johor, dengan anggaran kos RM25 juta, dan menaik taraf kaunter pemeriksaan lori baru di Zon Lori Masuk serta Bay Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) (RM30.647 juta).
"Selain itu, membina tandas baru buat orang awam merangkumi setiap satu unit di Terminal Bas Eksport, Terminal Bas Import, Kompleks Lori Eksport dan Terminal Lori Import, dengan anggaran kos RM8.63 juta," katanya pada sidang media itu.
Selain itu, kajian semula perjawatan perlu dilakukan bagi mengimbangi beban tugas pegawai berdasarkan trend bilangan orang yang melakukan perjalanan yang dijangka meningkat hingga 17.2 peratus setiap tahun. - The Star, BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg