Topik diikuti
Pergi ke BHkuKabinet Muhyiddin letak jawatan selepas mesyuarat dengan Agong
Kabinet Muhyiddin letak jawatan selepas mesyuarat dengan Agong
KUALA LUMPUR: Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan jawatan pada Isnin (16 Ogos), kata seorang menteri selepas perdana menteri itu menemui Agong di Istana. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Khairy Jamaluddin, mendedahkan perkara ini di akaun Instagramnya setelah mesyuarat Kabinet terakhir mereka selesai awal pagi ini. "Terima kasih atas kesempatan untuk, sekali lagi, berkhidmat kepada negara. Semoga Tuhan memberkati Malaysia," kata Encik Khairy. Tan Sri Muhyiddin dijangka berucap di televisyen secara langsung pada 3 petang ini, kata portal berita Malaysiakini yang memetik sumber. Ini melabuhkan tirai pemerintahan Tan Sri Muhyiddin selama 18 bulan yang bergelora, setelah serangan selama dua minggu ke atas kepemimpinannya yang bermula apabila 11 ahli parlimen Umno menarik sokongan mereka kepadanya pada 3 Ogos. Tetapi peletakan jawatan ini nampaknya akan menjerumus negara ke arah ketidaktentuan yang lebih dalam, lapor The Straits Times (ST). Walaupun selepas hujung minggu yang sarat dengan pertemuan dan cadangan, masih belum ada calon jelas untuk menggantikan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu. Sedang ST difahamkan bahawa Tan Sri Muhyiddin masih akan menasihati Sultan Abdullah Ahmad Shah bahawa Perikatan Nasional (PN) beliau tetap menjadi blok terbesar dalam Parlimen dengan 100 daripada 220 ahli parlimen, tetapi perlembagaan tidak memperuntukkan pemerintahan minoriti. Tan Sri Muhyiddin mungkin diminta untuk kekal dalam peranan sementara sedang Agong menentukan siapa, di antara sekumpulan yang menaruh harapan, dapat menguasai majoriti parlimen yang mempunyai 222 kerusi itu, yang dua kerusi buat masa ini kosong. Sedang Pakatan Harapan (PH) Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai 88 ahli parlimen, kebanyakan penggubal undang-undang di luar pakatan itu menentang kepimpinannya atau terikat dengan resolusi Umno awal tahun ini untuk tidak bekerjasama dengannya atau Parti Tindakan Demokratik (DAP), komponen terbesar dalam PH. Daripada 120 ahli parlimen yang menentang kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin, 15 berada dalam kumpulan kem Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan 17 lagi dalam pelbagai parti yang setia kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah berusaha meyakinkan rakan-rakan PN-nya agar menyokongnya untuk peralihan yang lancar, dengan sumber yang menunjukkan bahawa beliau akan menawarkan peranannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Bersatu. Jika beliau dapat meyakinkan kumpulan Datuk Zahid, maka majoriti PN akan dikembalikan sebagai kerajaan dengan 115 ahli parlimen. Tetapi nampaknya Datuk Zahid enggan menyokong bakal pesaing kepemimpinan parti itu. Meskipun demikian, ahli parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah, juga dipertimbangkan sebagai alternatif, sedang pendukung Umno itu dilihat sebagai kompromi antara pembangkang dan kerajaan kini. Salah satu pilihan untuk Agong adalah untuk membubarkan Parlimen, tetapi dengan pengundian diperlukan dalam masa 60 hari, ini akan memaksa sebuah negara yang sedang bergelut dengan gelombang Covid-19 paling dahsyatnya untuk keluar mengundi dan menghadapi risiko mengulangi lonjakan kes seperti selepas pilihan raya negeri Sabah setahun lalu.