LONDON: Britain mesti menyuntik vaksin ke dalam tubuh 2 juta warganya setiap minggu demi mengelakkan berlakunya gelombang jangkitan ketiga pandemik koronavirus di sana.
Hal tersebut diketengahkan dalam rumusan kajian yang dijalankan Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropikal London di bawah naungan Universiti London (UoL).
Sehingga semalam (kelmarin waktu Singapura), Britain sudah mencatat 71,000 kematian dan lebih 2.3 juta kes jangkitan Covid-19, menurut tinjauan akhbar Reuters.
Kajian tersebut menyatakan:
"Langkah pengawalan paling ketat yang sewajarnya dilakukan di serata negara sekarang ialah Tahap Empat, penutupan sekolah dan 2 juta warga disuntik vaksin setiap minggu.
"Senario itu boleh dipertimbang untuk mengurangkan beban terhadap khidmat Unit Jagaan Rapi (ICU) seperti yang berlaku sebelum gelombang pertama.
"Seandainya tidak dilaksanakan usaha pemvaksinan tersebut, maka jumlah kes, kemasukan ke hospital, kemasukan ke ICU dan kematian pada 2021 akan melebihi jumlah yang dicatatkan pada tahun ini."
Tambah kajian itu, usaha pemvaksinan yang dipercepat dalam tempoh seminggu itu "dijangka memberi kesan yang lebih besar".
Kajian itu masih belum dinilai saintis lain.
Lanjutan itu, Perdana Menteri Britain Boris Johnson dan penasihat saintifiknya berkata bahawa varian koronavirus baharu ini, yang dipercayai 70 peratus lebih mudah dijangkiti, kini tangkas menular di negara tersebut.
Namun, varian baharu virus itu dikatakan tidak sedahsyat virus lama mahupun menyebabkan tahap sakit yang lebih teruk.
Justeru langkah jarak sosial bagi kawasan London dan Britain Tenggara diperketat bahkan usul melonggarkan peraturan sempena sambutan Hari Natal serta Tahun Baru dikurangkan atau dilupuskan sama sekali.
Menurut laporan media sepanjang hujung minggu lalu, Britain menguar-uarkan rancangan hendak melaksanakan usaha pemvaksinan menggunakan vaksin Oxford-AstraZeneca mulai 4 Januari ini. Penguasa perubatannya juga dijangka memberi keizinan dalam masa beberapa hari ini.
Awal bulan ini, Britain menjadi negara pertama di dunia menggunakan vaksin yang dihasilkan Pfizer-BioNTech.
Kerajaan Britain juga berkata Khamis lalu bahawa 600,000 orang di negaranya sudah menerima dos pertama vaksin tersebut sejak proses inokulasi dimulakan. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg