PARIS: Jangkitan bakteria adalah punca kematian kedua paling tinggi di seluruh dunia, menyumbang satu daripada lapan daripada semua kematian pada 2019, demikian anggaran pertama berkaitan risikonya yang didedahkan semalam.
Kajian besar-besaran baru itu, yang diterbitkan dalam jurnal Lancet, menyaksikan kematian daripada 33 patogen bakteria biasa dan 11 jenis jangkitan di 204 negara dan wilayah.
Patogen itu dikaitkan dengan 7.7 juta kematian - 13.6 peratus daripada jumlah global - pada 2019, setahun sebelum wabak Covid-19 berlaku.
Ini menjadikan mereka penyebab utama kematian - di tangga kedua selepas penyakit jantung iskemik, termasuk serangan jantung, lapor kajian itu.
Lima daripada 33 bakteria yang bertanggungjawab bagi separuh kematian tersebut: Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Streptococcus pneumoniae, Klebsiella pneumoniae dan Pseudomonas aeruginosa.
S.aureus ialah bakteria biasa dalam kulit dan hidung manusia namun menjadi punca di sebalik pelbagai penyakit, manakala E. coli biasanya menyebabkan keracunan makanan.
Kajian itu dijalankan di bawah rangka kerja Global Burden of Disease - satu program penyelidikan besar yang dibiayai Yayasan Bill dan Melinda Gates - itu melibatkan ribuan penyelidik di serata dunia.
"Data baru ini buat kali pertamanya mendedahkan tahap penuh cabaran kesihatan awam global yang ditimbulkan oleh jangkitan bakteria," kata pengarang bersama kajian, Profesor Christopher Murray, pengarah Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
"Adalah amat penting untuk menempatkan dapatan ini dalam radar inisiatif kesihatan global supaya kajian lebih mendalam ke atas patogen maut ini dapat dijalankan dan pelaburan sewajarnya dibuat untuk mengurangkan jumlah kematian dan jangkitan."
Satu perkara menarik perhatian adalah penyelidikan itu menunjukkan perbezaan ketara antara rantau miskin dengan kaya.
Di rantau Afrika Sub-Sahara, terdapat 230 kematian bagi setiap 100,000 penduduk akibat jangkitan bakteria.
Angka itu jatuh kepada 52 bagi setiap 100,000 dalam apa yang disebut kajian sebagai "rantau berpendapatan tinggi" yang merangkumi negara-negara di Eropah Barat, Amerika Utara dan Australasia.
Penulis laporan itu menyeru supaya ditingkatkan pembiayaan, termasuk bagi vaksin baru, untuk mengurangkan jumlah kematian, selain memberi amaran terhadap "penggunaan antibiotik yang tidak wajar".
Mencuci tangan adalah antara langkah yang dinasihatkan bagi mencegah jangkitan. - AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg