Topik diikuti
Pergi ke BHkuKajian: Kerugian ekonomi daripada kebakaran Indonesia boleh cecah AS$30b
Kos kesihatan tambahan akibat jangkitan saluran pernafasan akut pula boleh cecah 225 trilion rupiah
Kajian: Kerugian ekonomi daripada kebakaran Indonesia boleh cecah AS$30b
JAKARTA: Kerugian daripada kebakaran yang memusnahkan kawasan hutan dan tanah gambut di Indonesia pada 2026 dianggarkan sebanyak AS$30 bilion ($38.7 bilion), menurut satu kajian.
Kerugian aset fizikal dan gangguan aktiviti ekonomi sahaja dianggarkan sebanyak 340 trilion rupiah ($24 bilion), menurut kajian baharu oleh Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (CELIOS) yang berpangkalan di Jakarta.
Jumlah itu sekitar 2.69 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Indonesia, menurut laporan CELIOS itu.
Laporan itu menambah bahawa kos kesihatan tambahan akibat jangkitan saluran pernafasan akut yang berpunca daripada kebakaran hutan di kepulauan Borneo, Sumatera dan Papua itu boleh mencecah hingga 225 trilion rupiah.
“Terdapat juga kos ekonomi yang ditanggung oleh orang awam, secara langsung mahupun tidak langsung,” kata pengarah CELIOS, Nailul Huda, yang juga pengarang bersama laporan itu, kepada AFP.
Kebakaran hutan telah memusnahkan 2.88 juta hektar setakat 2026, menurut pemantau penebangan hutan Nusantara Atlas. Kawasan terjejas itu 18 kali lebih besar daripada saiz London.
Indonesia mengalami kebakaran setiap musim kemarau, namun kebakaran pada 2026 adalah amat teruk.
Penyelidik berkata bahawa fenomena cuaca El Nino yang kuat, perubahan iklim, penebangan hutan dan penyaliran tanah gambut untuk kegiatan perlombongan dan perladangan telah memburukkan lagi musim kebakaran 2026.
Kebakaran tersebut membawa jerebu yang menyebabkan ratusan ribu penduduk di Indonesia jatuh sakit, malah berarak hingga ke Malaysia dan Singapura.
Dalam satu sesi mesyuarat Asean pada 15 November lalu, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memohon maaf kepada Singapura dan Malaysia bagi pihak pemerintah beliau atas sebarang impak yang mungkin ditanggung oleh rakyat kedua-dua negara akibat kebakaran hutan di Indonesia.
Beliau juga menyatakan pihak berkuasa negaranya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang dikaitkan dengan punca kebakaran tersebut.
Encik Prabowo menarik perhatian bahawa pemerintah Indonesia telah dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang terlibat dalam kes kebakaran hutan yang menyebabkan masalah jerebu tersebut.
Menurut beliau, negaranya juga bersedia untuk menubuhkan sebuah badan baharu bagi memperkukuh langkah-langkah pencegahan kebakaran hutan. – Agensi berita.