SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kanak-kanak di M'sia berusia 12-17 tahun dijangka diberi vaksin

Kanak-kanak di M'sia berusia 12-17 tahun dijangka diberi vaksin

Jun 10, 2021 | 5:30 AM

Kanak-kanak di M'sia berusia 12-17 tahun dijangka diberi vaksin

JALANI VAKSINASI: Seorang bapa bersama anak lelaki yang dipangkunya sedang menunggu ujian pemeriksaan percuma bagi mengesan Covid-19 di sebuah pusat pemeriksaan kesihatan di Shah Alam, Selangor, pada 27 Mei lalu. - Foto AFP
JALANI VAKSINASI: Seorang bapa bersama anak lelaki yang dipangkunya sedang menunggu ujian pemeriksaan percuma bagi mengesan Covid-19 di sebuah pusat pemeriksaan kesihatan di Shah Alam, Selangor, pada 27 Mei lalu. - Foto AFP -

PETALING JAYA: Kanak-kanak di Malaysia yang berusia antara 12 hingga 17 tahun dijangka disertakan dalam fasa ke-5 Program Imunisasi Kebangsaan, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang ditukil akhbar The Star, semalam.

Menurutnya, fasa ini yang dijangka dilancarkan pada Ogos ini, akan hanya dilaksanakan sekiranya Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memberi kelulusan bagi penggunaan vaksin Pfizer untuk digunakan ke atas kanak-kanak dalam kumpulan usia itu.

Dr Adham berkata semasa dihubungi bahawa sejauh ini hanya Pfizer yang mengemukakan permohonan bagi vaksinnya digunakan ke atas kanak-kanak.

Pada masa ini vaksin Covid-19 yang ada di Malaysia hanya boleh diberikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas, sebagaimana dibenarkan oleh NPRA.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap kajian penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun, disegerakan bagi melindungi golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ia berikutan kes positif Covid-19 membabitkan kanak-kanak di negara ini amat membimbangkan, selain ada dalam dalam kalangan mereka dilaporkan maut akibat jangkitan itu.

"Kita berharap kajian vaksin untuk kanak-kanak dapat disegerakan kerana kita melihat sudah ada negara yang memberikannya kepada golongan itu yang berusia 12 tahun ke atas seperti di Singapura dan Amerika Syarikat.

"Usaha itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak, sekali gus melindungi golongan berkenaan," katanya.

Kadar vaksinasi harian bagi mengekang penularan Covid-19 di Malaysia berjaya mencatat angka tertinggi dengan 151,309 dos diberikan, kelmarin.

Ia sekali gus mencapai sasaran kerajaan untuk mencapai kadar suntikan vaksin Covid-19 sebanyak 150,000 dos sehari, selewat-lewatnya akhir bulan ini, sebelum ditingkatkan kepada 200,000 dos sehari menjelang hujung bulan depan.

Perkembangan memberangsangkan itu dimaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melalui Facebook rasmi, semalam.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, seramai 105,722 individu menerima suntikan dos pertama, manakala 45,587 lagi selesai mendapat suntikan dos kedua kelmarin.

Peningkatan kadar vaksinasi itu antara lain disokong oleh pengoperasian lebih 280 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, selain PPV pandu lalu yang kini semakin bertambah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dipetik sebagai berkata pewujudan PPV pandu lalu akan diperluas ke seluruh negara. - BHM, The Star

"Kita berharap kajian vaksin untuk kanak-kanak dapat disegerakan kerana kita melihat sudah ada negara yang memberikannya kepada golongan itu yang berusia 12 tahun ke atas seperti di Singapura dan Amerika Syarikat." - Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg