PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak berusia satu tahun 11 bulan yang ditemui lemah di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Rabu (22 Dis) didapati mengalami gastroenteritis - radang perut dan usus - akut dengan lima peratus dehidrasi. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata siasatan yang dijalankan mengesan kejadian gastroenteritis akut dalam keluarga kanak-kanak itu, berpunca daripada bahan makanan mentah yang rosak dan faktor kebersihan yang terjejas akibat banjir, lapor Berita Harian Malaysia. Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan tiada isu kelewatan respon kesihatan berlaku berkaitan isu itu. Katanya, kejadian bermula dengan abang mangsa yang berusia 15 tahun dan kakaknya yang berusia lapan tahun, yang mengalami simptom muntah-muntah pada Selasa (21 Dis). Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua mereka kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar. "Pada jam 8.30 malam tadi, kanak-kanak itu mulai muntah kemudian kelihatan letih dan kurang aktif. Bapanya menghubungi 999 pada jam 10 malam untuk meminta bantuan kecemasan, seterusnya mereka sekeluarga dibawa ke klinik medan KKM di Taman Sri Muda pada jam 10.30 malam pada hari yang sama. "Kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi rawatan susulan, manakala abang dan kakaknya diberi rawatan pesakit luar di klinik medan KKM dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga," katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis (23 Dis). Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 390 kes Covid--19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir, hingga Khamis naik 29 kes berbanding Rabu. KKM turut mengesan 180 kes penyakit berjangkit lain dalam kalangan mangsa banjir pada Khamis. "Ia membabitkan 80 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI); Penyakit Kulit (57); Gastroenteritis Akut (42) dan satu kes Konjunktivitis," katanya.