Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak Sri Lanka hadapi masalah kurang makanan

Kemelut baru timbul dengan kepulangan mantan presiden Gotabaya Rajapaksa ke negara Asia Selatan itu
Sep 7, 2022 | 5:30 AM
HADAPI KEKURANGAN MAKANAN: Kanak-kanak di Sri Lanka menghadapi masalah kekurangan makanan dan kadangkala tidur dalam keadaan lapar, menurut Unicef.
HADAPI KEKURANGAN MAKANAN: Kanak-kanak di Sri Lanka menghadapi masalah kekurangan makanan dan kadangkala tidur dalam keadaan lapar, menurut Unicef. -

KRISIS ekonomi di Sri Lanka telah menyebabkan ramai kanak-kanak di negara itu kelaparan, sedang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa krisis serupa boleh berlaku di beberapa negara di Asia Selatan.

Ini sedang mantan pemimpin Sri Lanka, Encik Gotabaya Rajapaksa, pulang ke tanah airnya baru-baru ini selepas melarikan diri semasa kebangkitan rakyat pada Julai lalu.

Sri Lanka kini sedang bergelut dengan kemerosotan ekonomi paling buruk dalam sejarahnya selepas kehabisan mata wang asing untuk membeli import, menyebabkan kekurangan bekalan makanan, bahan tenaga dan keperluan lain.

KANAK-KANAK KELAPARAN

Krisis itu amat dirasai kebanyakan keluarga yang "terpaksa mengurangkan makanan harian mereka" kerana bahan makanan kian tidak dimampui, kata Pengarah Asia Selatan bagi Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef), Encik George Laryea-Adjei.

"Kanak-kanak tidur dalam keadaan lapar, tidak pasti dari mana makanan mereka akan datang," katanya kepada wartawan.

Sri Lanka gagal membayar hutang asingnya sebanyak AS$51 bilion ($71.25 bilion) pada April lalu dan kini sedang dalam rundingan mendapatkan bantuan kewangan penyelamat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

MELUAS KE NEGARA ASIA SELATAN LAIN

Kenaikan harga bahan tenaga menyusuli pencerobohan Russia ke atas Ukraine juga telah menjejas ekonomi negara-negara di Asia Selatan, dengan Encik Laryea-Adjei berkata negara lain di rantau itu boleh menghadapi krisis pemakanan sama.

"Ketidakpastian ekonomi dan inflasi serius di seluruh Asia Selatan boleh mengancam kehidupan kanak-kanak," katanya.

"Apa yang saya lihat di Sri Lanka adalah peringatan kepada negara lain di Asia Selatan."

Unicef telah membuat rayuan bagi mendapatkan AS$25 juta untuk memenuhi keperluan mendesak bagi sekurang-kurangnya separuh penduduk kanak-kanak Sri Lanka.

Pemerintah negara itu juga telah mengeluarkan rayuannya sendiri untuk menangani kekurangan zat makanan yang semakin merebak dalam kalangan kanak-kanak.

Angka rasmi pada 2021 menunjukkan 127,000 daripada 570,000 murid prasekolah di seluruh negara itu mengalami kekurangan zat makanan. Sejak itu, pegawai percaya angka itu telah melonjak tinggi ekoran kesan penuh kekurangan makanan dan inflasi yang meningkat.

EKONOMI TERUS BERMASALAH

Ekonomi Sri Lanka diunjurkan menguncup sebanyak 8 peratus tahun ini - lebih buruk daripada jangkaan, dengan ramalan inflasi memuncak pada rekod 65 peratus menjelang September.

Kiriman wang rakyatnya yang bekerja di luar negara, sumber utama tukaran asing bagi Sri Lanka, telah turun lebih 50 peratus kepada AS$1.6 bilion dalam tempoh enam bulan hingga Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.

RAJAPAKSA PULANG, TIMBUL KEMELUT BARU

Sementara itu, Encik Rajapaksa pulang ke Sri Lanka baru-baru ini dan telah diberi kediaman rasmi dan keselamatan oleh pihak pemerintah.

Tetapi beliau berdepan dengan tuntutan rakyat agar didakwa atas salah laku dasar yang membawa kepada krisis ekonomi paling teruk di negara itu.

Walaupun pihak berkuasa menjangka kebangkitan bantahan rakyat ekoran kepulangan Encik Rajapaksa, rakyat Sri Lanka yang kini menghadapi masalah kekurangan makanan dan bahan tenaga teruk, nampaknya tidak memberi tindak balas yang dijangkakan.

Cik Bhavani Fonseka, seorang penyelidik kanan di Pusat Alternatif Dasar, berkata:

"Orang awam mungkin terkejut kerana Encik Rajapaksa pulang secepat ini.

" Di kalangan mereka yang membantah selama berbulan-bulan, terdapat semacam kebimbangan kerana tindakan tegas di bawah Presiden baru Encik Ranil Wickremesinghe."

MAHU DIBAWA KE PENGADILAN

Sedang pemerintah mengumumkan Encik Rajapaksa akan "diberi hak yang selalu diberi kepada bekas presiden", pengkritiknya berkata mereka sedang berusaha membuatnya bertanggungjawab ke atas salah laku dasar yang membawa kepada krisis terburuk negara itu.

Peletakan jawatan Encik Rajapaksa menamatkan kekebalan presidennya.

Selain itu, aktivis hak asasi manusia berkata mereka akan mendesak penahanannya atas pelbagai tuduhan, termasuk dakwaan peranannya dalam pembunuhan editor akhbar terkemuka, mendiang Lasantha Wickrematunge, pada 2009 di samping jenayah perang yang menyebabkan kematian orang awam Tamil pada 2009.

Encik Rajapaksa juga menghadapi tuduhan di mahkamah di California, Amerika Syarikat, berkaitan pembunuhan Encik Wickrematunge dan penyeksaan tahanan orang Tamil.

Kepulangan Encik Rajapaksa menunjukkan Presiden Wickremesinghe yakin untuk mengekalkan ketenteraman selepas menamatkan bantahan besar-besaran. Ia juga adalah petanda pengaruh keluarga Encik Rajapaksa masih ada di negara dengan 22 juta penduduk itu.

Kepulangan beliau merupakan atas permintaan parti pemerintah Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP).

Encik Rajapaksa melarikan diri dari Sri Lanka pada awal pagi 13 Julai selepas bantahan besar-besaran melanda ibu kota Colombo.

Beliau meletak jawatan sebagai presiden selepas tiba di Singapura. Beliau kemudian terbang ke Thailand.

Sumber berkata kos tinggi untuk tinggal di Thailand adalah faktor utama bagi Encik Rajapaksa mahu pulang ke tanah air secepat mungkin.

Encik Wickremesinghe pula sebelumnya berkata sebarang tindakan undang-undang terhadap Encik Rajapaksa akan dilakukan mengikut undang-undang negara itu. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg