BAITULMAKDIS: Pemerintah Israel mengumumkan bahawa kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan layak untuk vaksinasi terhadap Covid-19.

Tarikh permulaan kempen itu akan didedahkan kepada umum dalam beberapa hari.

Keputusan yang diumumkan Kementerian Kesihatan itu menyusuli kelulusan panel pakar negara itu mengenai vaksinasi minggu lalu, selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Pfizer dan BioNTech buat kumpulan umur itu pada dos 10 mikrogram.

Dos suntikan asal yang diberi kepada mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas adalah 30 mikrogram.

Syarikat Pfizer dan BioNTech berkata vaksin mereka menunjukkan keberkesanan 90.7 peratus terhadap koronavirus itu dalam satu ujian klinikal kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Dalam satu kenyataan, kementerian terus mengatakan tarikh permulaan bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun untuk mula menerima vaksin Pfizer/BioNTech akan ditetapkan dalam beberapa hari.

"Majoriti pakar dalam jawatankuasa itu berpendapat bahawa faedah vaksinasi kumpulan umur ini mengatasi sebarang risiko," kata kenyataan itu.

Daripada sejumlah 9.4 juta penduduk Israel, kira-kira 1.2 juta adalah kanak-kanak dalam kumpulan umur lima hingga 11 tahun itu.

Pegawai kesihatan pemerintah sebelum ini meragui negara itu boleh mencapai "imuniti kelompok" melainkan golongan kanak-kanak itu diberi vaksin.

Namun satu tinjauan pendapat di Israel minggu lalu menunjukkan 27 peratus ibu bapa akan membenarkan anak mereka di bawah umur 12 tahun menerima vaksin itu, dengan 33 peratus menentang dan 40 peratus masih belum membuat keputusan.

Sementara itu, empat juta rakyat Israel telah mengambil suntikan penggalak, yang pada bulan Ogos lalu telah diluluskan buat sesiapa yang mendapat dua suntikan Pfizer mereka sekurang-kurangnya lima bulan lebih awal.

Menggunakan strategi "Hidup dengan Covid", pemerintah negara itu terus membuka sekolah dan ekonomi semasa berlakunya gelombang keempat jangkitan, sambil berharap untuk mengatasi pandemik dengan suntikan penggalak, mewajibkan pemakaian pelitup dan sistem pensijilan digital "Pas Hijau" - Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti