Topic followed successfully
Go to BHkuKapal sarat hampir 16,000 kambing biri-biri karam
Kapal sarat hampir 16,000 kambing biri-biri karam
Kapal sarat hampir 16,000 kambing biri-biri karam
KHARTOUM, (Sudan): Sebuah kapal yang sarat dengan ribuan kambing biri-biri telah karam semalam di luar pantai Laut Merah Sudan, menenggelamkan haiwan di dalamnya tetapi dengan semua anak kapal terselamat, kata seorang pegawai pelabuhan.
Kapal ternakan itu dalam pelayaran dari pelabuhan Suakin di Sudan ke Arab Saudi apabila ia menghadapi masalah di Laut Merah.
"Kapal itu, Badr 1, tenggelam pada awal pagi Ahad," kata seorang pegawai kanan pelabuhan Sudan, yang tidak mahu namanya disiarkan.
"Ia membawa 15,800 ekor biri-biri, yang melebihi had muatannya."
Seorang lagi pegawai, yang mengatakan bahawa semua anak kapal telah diselamatkan, menimbulkan kebimbangan mengenai kesan ekonomi dan alam sekitar ekoran kemalangan itu.
"Kapal karam itu akan menjejaskan operasi pelabuhan," kata pegawai itu.
"Ia juga berkemungkinan akan memberi kesan kepada alam sekitar kerana kematian sejumlah besar haiwan yang dibawa oleh kapal itu".
Pada bulan lalu, kebakaran besar berlaku di kawasan kargo pelabuhan Suakin telah menyebabkan kerosakan teruk. Tidak jelas punca kebakaran itu.
Siasatan telah dilancarkan untuk menentukan punca kebakaran itu, tetapi sejauh ini masih belum menemui jawapannya.
Bandar pelabuhan bersejarah Suakin bukan lagi hab perdagangan asing utama Sudan, peranan yang telah diambil oleh Pelabuhan Sudan, 60 kilometer jauhnya di sepanjang pantai Laut Merah.
Terdapat langkah untuk membangunkan semula pelabuhan itu, tetapi perjanjian 2017 dengan Turki untuk memulihkan bangunan bersejarah dan memperluaskan dok telah digantung selepas penyingkiran presiden lama Omar al-Bashir.
Sudan kekal dicengkam oleh krisis ekonomi kronik, yang semakin meruncing berikutan rampasan kuasa tentera tahun lalu yang diketuai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan.
Pengambilalihan tentera mencetuskan tindakan menghukum, termasuk pemotongan bantuan oleh kerajaan Barat, yang menuntut pemulihan pentadbiran peralihan yang dipasang selepas Bashir digulingkan. - Agensi berita.

