SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kapal tempur tentera laut M'sia pertama jangka siap 2024

Kapal tempur tentera laut M'sia pertama jangka siap 2024

Kos bina kapal tempur kekal walaupun bilangan kapal kurang daripada perancangan asal
Feb 21, 2023 | 5:30 AM

Kapal tempur tentera laut M'sia pertama jangka siap 2024

KAPAL DIRAJA (KD) MAHARAJA LELA: Kapal tempur pesisir pertama milik TLDM yang dinamakan 'Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela', sewaktu majlis pelancarannya pada 2017. Namun kapal itu sebenarnya belum siap sepenuhnya. Ia a hanya akan beroperasi sekitar 2026. - Foto BERNAMA
KAPAL DIRAJA (KD) MAHARAJA LELA: Kapal tempur pesisir pertama milik TLDM yang dinamakan 'Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela', sewaktu majlis pelancarannya pada 2017. Namun kapal itu sebenarnya belum siap sepenuhnya. Ia a hanya akan beroperasi sekitar 2026. - Foto BERNAMA -

KUALA LUMPUR: Kapal tempur pesisir (LCS) pertama, yang dijangka siap 2024, memerlukan 22 hingga 24 bulan lagi untuk menjalani ujian pelabuhan dan di laut sebelum ia boleh ditauliahkan untuk beroperasi sepenuhnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pembinaan pangkalan kapal pertama telah siap termasuk pemasangan enjin, kotak gear dan bebaling, lapor Berita Harian Malaysia.

"Seterusnya ialah pemasangan peralatan elektrik dan senjata. Setelah siap, kapal itu perlu menjalani ujian pelabuhan dan di laut.

"Ujian akan mengambil masa antara 22 dan 24 bulan sebelum kapal itu boleh beroperasi," katanya di Parlimen semasa menjawab soalan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut).

Komander Nordin dalam soalannya bertanyakan mengenai langkah kerajaan dalam mengatasi isu projek LCS yang semakin meruncing hingga menjejaskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, Datuk Mohamad Hasan berkata kos pembinaan LCS sebanyak RM9 bilion ($2.73 bilion) masih kekal walaupun bilangan kapal yang dibina dikurangkan daripada enam unit kepada lima.

"Tiada pengurangan kos yang diluluskan sebelum ini kerana terdapat banyak pesanan variasi, kos tambahan dan peningkatan kos.

"(Tetapi), saya telah melihat bahawa wang itu telah digunakan. Semuanya telah dibeli di Limbungan Tentera Laut Boustead."

Berhubung soalan asal Komander Nordin mengenai langkah ke hadapan kementerian dalam mengatasi isu projek LCS, Datuk Mohamad Hasan memaklumkan pihaknya sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan penerusan projek berkenaan.

"Cadangan penerusan projek ini sedang dilaksanakan menerusi penyediaan memorandum Jemaah Menteri yang akan dibentangkan dalam masa terdekat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai langkah memastikan projek LCS memberi manfaat kepada industri pertahanan negara, Datuk Mohamad Hasan yakin projek LCS adalah pemacu dalam menjadikan sektor pembinaan kapal sebagai antara industri utama negara.

"Jika diberi peluang, Boustead Naval Shipyard mempunyai masa depan yang cerah dalam menjadi peneraju kepada sektor pembinaan limbungan kapal di negara kita.

"Kalau boleh, ini dijadikan sebagai industri utama. Negara kita adalah negara maritim, memerlukan banyak pembinaan kapal. Bukan saja kapal perang, tapi juga kapal lain," katanya.

LCS adalah projek perolehan yang digariskan di bawah Pelan Transformasi 15-5 TLDM.

Mengikut perancangan keseluruhan, TLDM menggariskan keperluan memperoleh 12 kapal LCS sebagai satu komponen penting pelan transformasi berkenaan.

Pelan itu dirancang untuk memperkemaskan aset TLDM yang pada ketika itu terdiri daripada 15 kelas kepada lima.

Selain LCS, TLDM telah menggariskan empat kelas lain iaitu kapal misi pesisir (LMS), kapal peronda generasi Baharu (NGPV), kapal selam dan kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS).

Namun menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2022, kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal yang telah disiapkan setakat ini.

Laporan yang dikeluarkan pada 4 Ogos lalu itu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember lalu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg