Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kapsul Orion Nasa kembali ke Bumi selepas kelilingi bulan

Dec 13, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Kapsul angkasa lepas Orion milik Nasa melintasi atmosfera Bumi dan turun di lautan Pasifik kelmarin selepas melakukan pelayaran tanpa anak kapal mengelilingi bulan, menamatkan misi sulung program lunar Artemis kendalian agensi Amerika Syarikat itu, 50 tahun selepas pendaratan terakhir misi Apollo di bulan.



Kapsul Orion berbentuk gula-gula, membawa kru simulasi tiga patung berwayar penderia, terjunam ke dalam lautan pada 9.40 pagi PST (1740 GMT) di luar semenanjung Baja California, Mexico, menghasilkan kepulangan penuh kepentingan sebelum Nasa menerbangkan kru pertamanya, Angkasawan Artemis, mengelilingi bulan dalam beberapa tahun akan datang.



"Ini adalah misi yang mencabar, dan inilah rupa kejayaan misi," kata pengurus misi Artemis I Nasa, Encik Mike Sarafin, kepada pemberita selepas pendaratan, sambil menambah bahawa pasukannya tidak segera mendapati sebarang masalah dengan kepulangan Orion dari angkasa.



Sebuah helikopter tentera Amerika dan sekumpulan bot laju menghampiri kapsul itu selepas pendaratan dan menjalankan pemeriksaan selama kira-kira lima jam sebelum Orion dinaikkan di atas kapal Tentera Laut Amerika untuk perjalanan ke San Diego, California.



Kepulangan itu menamatkan misi selama 25 hari, kurang seminggu selepas mencapai paras kira-kira 79 batu (127 km) di atas bulan dalam penerbangan melintasi bulan, dan berlaku kira-kira dua minggu selepas mencapai titik paling jauh di angkasa, hampir 270,000 batu (434,500 km) dari Bumi.



Kira-kira 30 minit sebelum mencecah lautan, kapsul itu pada 9 pagi mula melakukan terjunan berapi selama 20 minit pada kelajuan 24,500 batu sejam (39,400 kmj), memasuki atmosfera Bumi apabila ia melepaskan modul perkhidmatannya, mendedahkan pelindung haba yang mencapai suhu puncak hampir 5,000 darjah Fahrenheit (2,760 darjah Celcius) semasa penurunannya yang sangat pantas.



Geseran atmosfera memperlahankan kapsul daripada 24,500 batu sejam (39,400 kmj) kepada 325 mph. Ini diikuti dengan pelepasan dua set payung terjun yang membantu memerlahankan kelajuannya kepada sekitar 20 mph pada saat ia mencecah lautan. Kapsul itu menunjukkan kadar penurunan yang "sempurna", kata pengulas Nasa, Encik Rob Navias, semasa siaran langsung penerbangan pulang itu.



Orion dilancarkan pada 16 November dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida, di atas Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS) generasi akan datang Nasa, roket paling berkuasa di dunia dan yang terbesar telah dibina Nasa sejak roket Saturn V dalam era misi Apollo.



Pelayaran pertama SLS-Orion memulakan program pengganti Apollo, Artemis, yang bertujuan mengembalikan angkasawan ke permukaan bulan dekad ini dan mewujudkan pangkalan yang mampan di sana sebagai batu loncatan kepada penerokaan manusia di Marikh pada masa hadapan. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >