KUALA LUMPUR - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia berkata "Selamat malam Malaysia tiga tujuh sifar," adalah kata-kata terakhir yang diumumkan dari kokpit pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
"Kami ingin mengesahkan perbualan terakhir mengikut transkrip antara pengawal lalu lintas udara dan kokpit yang berlaku pada 0119 (waktu Malaysia) adalah Selamat malam Malaysia tiga tujuh sifar," kata DCA dalam satu kenyataan semalam.
"Pihak berkuasa masih melakukan siasatan forensik untuk memastikan sama ada kata-kata terakhir dari kokpit itu dibuat oleh juruterbang atau pembantu juruterbang," kata DCA.
Sebelum ini dilaporkan bahawa kata-kata terakhir "Baiklah, selamat malam" dari pesawat itu telah dibuat oleh pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid.
Menurut DCA, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, "telah mengarahkan kumpulan siasatan untuk mengeluarkan transkrip penuh".
Ia akan disediakan sewaktu taklimat untuk kaum keluarga penumpang pesawat tersebut.