
AUCKLAND: Bandar terbesar New Zealand, Auckland, telah mengisytiharkan keadaan darurat selepas ia dilanda hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan pemindahan penduduk di banyak kawasan.
Hujan lebat yang turun kelmarin di Auckland telah menjejas rumah, menyebabkan trafik tergendala dan tenaga elektrik terpotong - menjejas penduduk dan perniagaan.
Bandar itu dilaporkan menerima sekitar 75 peratus hujan musim panas dalam tempoh hanya 15 jam.
"Kesannya sepanjang 24 jam lalu akan dirasakan ramai yang menetap di Auckland untuk tempoh yang lama," kata ramalan cuaca negara itu.
Mayor Auckland, Encik Wayne Brown, mengesahkan laporan media bahawa satu mayat telah ditemui di Wairau Valley di North Shore, Auckland.
Encik Brown berkata beliau amat sedih dengan berita itu.
Polis belum mengesahkan sekiranya kematian itu ada kaitan dengan banjir tersebut.
Beliau berkata prasarana dan perkhidmatan kecemasan amat sibuk akibat kesan bencana yang melanda itu.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Kebakaran dan Kecemasan New Zealand berkata ia telah menangani sekitar 1,500 panggilan yang mohon bantuan.
Pasukan Pertahanan New Zealand sedang membantu dengan pemindahan penduduk dan tempat perlindungan kecemasan yang ditubuhkan di serata bandar itu.
Sementara itu, Encik Brown telah mempertahankan dirinya terhadap kritikan yang dilempar bahawa beliau terlalu lambat untuk mengesahkan keadaan darurat, dengan menyatakan bahawa beliau mendapat nasihat daripada para pakar.
Sementara itu, seorang Anggota Parlimen dan penduduk Auckland, Encik Ricardo Menendez March, memberitahu agensi berita BBC bahawa kawasan tempat tinggalnya begitu cepat dinaiki air, sehingga menyebabkan trafik berpanjangan di jalan raya, dengan beberapa kemalangan trafik dilaporkan.
Banjir tersebut juga menjejas perjalanan menuju masuk dan keluar daripada Lapangan Terbang Auckland.
Penerbangan domestik dan antarabangsa kini terpaksa ditangguhkan sehingga sekitar 5 pagi hari ini.
Satu konsert melibatkan penyanyi popular, Elton John, yang dijangka dihadiri sekitar 40,000 penonton, telah dibatalkan beberapa minit sebelum ia bermula.
Acara awam lain sepanjang hujung minggu ini juga dibatalkan.
Perdana Menteri New Zealand, Encik Chris Hipkins, berkata bangunan parlimen di ibu kota negara itu, Wellington, digunakan dalam respons penyelarasan dan kecemasan.
Institut Kajian Air dan Atmosfera Nasional (Niwa), yang merupakan badan sains iklim negara itu, berkata kelmarin merupakan hari hujan paling lebat turun di beberapa lokasi di Auckland.
Hujan lebat diramalkan di beberapa kawasan bandar itu sekurang-kurangnya untuk lima hari akan datang.
Encik March berkata:
"Ini menunjukkan bahawa kita perlu adakan perbincangan tentang bagaimana perubahan iklim menyebabkan semua kejadian ini secara lebih kerap dan bagaimana bandar seperti Auckland amat tidak bersedia menghadapinya." - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg